Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, di bawah program itu, pelajar cemerlang daripada keluarga miskin akan menikmati insentif sebanyak RM500 seorang yang dimasukkan dalam akaun SSPN-i mereka.

Katanya, PTPTN menyediakan peruntukan untuk seramai 500,000 ibu bapa terawal yang layak dengan membuat simpanan RM500 dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) untuk menikmati Geran Sepadan yang akan ditutup pada 31 Disember depan. 
"Ini adalah inisiatif PTPTN bagi memastikan ibu bapa mempunyai simpanan pendidikan tinggi untuk anak-anak mereka di samping menyemai budaya menabung sebagai persediaan untuk melanjutkan pengajian ke pusat pengajian tinggi," kata Wan Saiful selepas merasmikan program “Kembali ke Sekolah’ dan sumbangan akaun SSPN-i di Sekolah Kebangsaan Oran di sini hari ini.
Pada majlis sama, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd. Nazim Mohd. Noor menyampaikan zakat pendidikan sumbangan agensi itu kepada 790 pelajar termasuk 89 pelajar bukan beragama Islam. 
Wan Saiful berkata, Perlis adalah antara negeri yang menyalurkan zakat kepada pelajar bukan Islam dan beliau berbangga dengan perkembangan itu. - Bernama