Polis sahkan memang Adib cedera kerana dipukul
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menegaskan
dakwaan bahawa anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dilanggar jentera bomba
dan bukannya dipukul dalam insiden kekecohan di kuil Sri Maha Mariamman di
Putra Heights, Subang Jaya, adalah tidak benar.
Beliau berkata maklumat yang diperoleh tidak mendapati
Muhammad Adib, 25, dilanggar seperti yang tular di media sosial.
Loading...
“Kalau tak dipukul macam mana dia boleh cedera kritikal
ketika ini? Kita sekarang sedang kenal pasti siapa yang viralkan video
berkenaan (yang kononnya menujukkan Muhammad Adib dilanggar).
“Kita juga masih sedang buru individu terlibat memukul
Muhammad Adib. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu
diminta tampil bantu siasatan polis untuk kenal pasti mereka yang
bertanggungjawab,” katanya.
Mohamad Fuzi bercakap pada sidang media selepas merasmikan
Forum Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC): Ke Arah
Perkhidmatan Kepolisan Yang Cemerlang hari ini.
Semalam, Badan Bertindak Selamatkan Kuil Sri Maha Mariaman
mendakwa Muhammad Adib tidak dipukul sekumpulan perusuh sebaliknya beliau
dihimpit jentera bomba, bagaimanapun dakwaan itu disangkal Jabatan Bomba Dan
Penyelamat Malaysia (JBPM).
Dalam kejadian awal pagi Selasa, Muhammad Adib dipercayai
dipukul sekumpulan perusuh ketika dalam operasi memadam kebakaran kenderaan di
hadapan kuil tersebut.
Dalam pada itu, Mohamad Fuzi berkata beliau perkata polis
masih belum meluluskan penganjuran perhimpunan mengenai ratifikasi Konvensyen
Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang
dijadual berlangsung di ibu negara.
“Mereka (penganjur) telah membuat pemohonan...kita sudah
panggil penganjur. Setakat ini kita masih belum bagi permit kerana kena buat
penilaian berkaitan keselamatan dahulu di samping mereka juga perlu mendapatkan
kebenaran DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur),” katanya.
Pada 23 Nov lalu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan bahawa
kerajaan Pakatan Harapan tidak akan meratifikasi ICERD. Susulan itu kerajaan
berpendapat tiada keperluan menganjurkan perhimpunan berkenaan.
- Bernama
Post a Comment