Header Ads

PM terima darjah kebesaran tertinggi Jepun Selasa ini

Maharaja Jepun, Akihito berkenan menyampaikan cenderamata kepada Mahathir semasa lawatan baginda ke Malaysia pada tahun 1991. Kredit foto penerangan

TOKYO - Perdana Menteri. Tun Dr. Mahathir Mohamad akan menerima darjah kebesaran "The Grand Cordon of the Order of the Paulownia Flowers" daripada Maharaja Jepun sewaktu lawatan kerja beliau selama tiga hari bermula esok.


Loading...
Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Ahmad Izlan Idris berkata, pengurniaan darjah kebesaran tertinggi negara Jepun oleh Maharaja Akihito yang akan berlangsung di Istana Maharaja di sini pada Selasa adalah berikutan sumbangan besar Perdana Menteri atas pengukuhan hubungan baik antara kedua-dua negara.

"Secara tradisi darjah kebesaran itu diberikan kepada penerima di kalangan pemimpin luar seperti Perdana Menteri dan negawaran terbilang dalam dan luar Jepun," katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Perdana Menteri akan menjadi pemimpin ketiga dari Asia yang menerima darjah kebesaran itu selepas bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew dan bekas Perdana Menteri India, Manmohan Singh.

"Perdana Menteri dan isteri Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali juga akan menghadiri santapan tengah hari bersama Maharaja dan Maharani Jepun pada Rabu di Istana Maharaja," katanya.

Lawatan kerja kali ini merupakan yang ketiga buat Mahathir sejak beliau kembali memegang jawatan Perdana Menteri pada Mei dengan lawatan pertama pada Jun dan yang kedua pada Ogos.

Ahmad Izlan berkata, selepas menerima darjah kebesaran itu pada hari kedua lawatan, Perdana Menteri dan delegasi Malaysia juga akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe di pejabat rakan sejawatannya itu. - Bernama

No comments

Loading...