Ahli Parlimen Pekan itu berkata walaupun kerajaan ada mengumumkan beberapa subsidi, namun ia tidak memadai dengan janji kepada rakyat yang dilakukan ketika PRU14, Mei lalu.
"Begitu juga dengan pembayaran semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, mereka janji bahawa gaji RM4,000 ke bawah tidak perlu membayar, sebab itulah ramai anak muda sokong mereka tetapi sebaliknya hanya peminjam yang berpendapatan RM1,000 dan ke bawah sahaja dikecualikan," katanya selepas pembentangan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada pembentangan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng itu, katanya, kerajaan PH juga hanya mengulangi perancangan yang telah dibentangkan oleh kerajaan pimpinanya dahulu.
Dalam pada itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan belanjawan pertama PH tidak memberikan titik sentuhan kepada rakyat.
"Kita lihat tidak ada pun peruntukan khusus untuk petani dan nelayan serta mereka yang menjadi pekebun-pekebun kecil terutama apabila harga komoditi ini jatuh," kata Presiden UMNO itu.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata hampir tiada agenda besar dibuat sebagai pemangkin kepada pembangunan Wilayah Pantai Timur dalam Belanjawan 2019.
"Masa komen Tun Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) dalam kajian RMK-11 (Rancangan Malaysia Ke-11), antara antara yang dibangkitkan ialah pembangunan seimbang wilayah.
"Tetapi, kita tengok belanjawan kali ini hampir tiada, malah tidak digambarkan dalam data yang jelas tentang pembangunan khusus kawasan wilayah Pantai Timur," katanya. - Bernama