Header Ads

Permohonan Najib, Irwan pindah kes didengar 7 Dis



KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 7 Disember untuk mendengar permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah yang berdepan enam pertuduhan pecah amanah wang kerajaan berjumlah lebih RM6.6 bilion, bagi memindahkan kes mereka ke Mahkamah Tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izhanudin Alias memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas pengurusan kes berkenaan di dalam kamar Timbalan Pendaftar Nurliana Ismail yang turut dihadiri peguam Rahmat Hazlan bertindak bagi pihak Najib dan Datuk K. Kumaraendran mewakili Mohd Irwan Serigar.

Loading...


Mohd Izhanudin berkata, permohonan itu akan didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Rozana Ali Yusoff pada 3.30 petang, Jumaat depan.

"Permohonan Najib untuk memindahkan kes tidak dibantah oleh peguam yang mewakili Mohd Irwan Serigar kerana kes berkenaan akan dibicarakan bersama," katanya yang turut memaklumkan pihak pendakwaan tidak membantah terhadap permohonan itu.

Kumaraendran pula berkata pihaknya tidak membantah permohonan Najib untuk memindahkan kes itu dan tiada keperluan untuk Mohd Irwan Serigar memfailkan permohonan yang sama kerana mereka telah dituduh secara bersama dan akan dibicarakan bersama.

Pada 25 Oktober lepas, Najib, 65 dan Mohd Irwan Serigar, 61, mengaku tidak bersalah atas enam tuduhan pecah amanah berjumlah RM6,636,065,000.
Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Kewangan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan Malaysia masing-masing dalam kapasiti tersebut telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta iaitu sejumlah RM1.2 bilion milik kerajaan Malaysia telah melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta berkenaan.

Mengikut pertuduhan kedua, Najib dan Mohd Irwan Serigar didakwa bersama-sama atas jawatan sama yang telah diamanahkan dengan harta sejumlah RM655 juta milik kerajaan Malaysia telah melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta tersebut.

Bagi pertuduhan ketiga mereka didakwa bersama-sama atas jawatan serupa  telah melakukan pecah amanah iaitu sejumlah RM220 juta, peruntukan di bawah “Belanja Mengurus di bawah Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 021700 KL International Airport Berhad (KLIAB)” milik Kerajaan Malaysia.

Kedua-dua tertuduh juga didakwa bersama-sama atas jawatan sama telah melakukan pecah amanah sejumlah RM1.3 bilion, peruntukan di bawah “Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 020500 Subsidi Dan Bantuan Tunai”, milik kerajaan Malaysia.

Bagi pertuduhan kelima dan keenam, mereka didakwa bersama-sama atas jawatan serupa melakukan pecah amanah sejumlah CNY1,950,000,000 (bernilai RM1,261,065,000)  dan RM2 bilion milik kerajaan Malaysia.


Najib dan Mohd Irwan Serigar dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Wilayah Persekutuan Putrajaya pada 21 Dis 2016 bagi pertuduhan pertama dan kedua, pada  3 Ogos 2017 pertuduhan ketiga manakala pertuduhan keempat hingga keenam masing-masing pada 10 dan 23 Ogos serta 18 Dis 2017 .

Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. - Bernama

-sinar harian

No comments

Loading...