Header Ads

Penunggang motor lega tol dua jambatan mansuh


GEORGE TOWN, 3 Nov — Penunggang motosikal di negeri ini lega dengan pengumuman  pemansuhan tol bagi motosikal di jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muázam Shah pada pembentangan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat semalam.

Mohd Fazil Othman, 32, yang sering menggunakan laluan di jambatan pertama untuk berulang alik dari Seberang Perai ke bahagian pulau bagi urusan penghantaran barang menyifatkan belanjawan kali ini bersifat ekonomi mesra rakyat.


Loading...
“Dalam sehari, saya kerap berulang alik dari seberang ke pulau untuk hantar barang kepada syarikat-syarikat di sini...sudah tentu kos untuk membayar tol setiap kali masuk pulau memberi kesan kerana saya bekerja sendiri.

“Jadi pemansuhan itu amat tepat kerana kami dapat memperuntukkan perbelanjaan tol untuk perkara yang lebih penting memandangkan kos sara hidup yang tinggi pada masa ini telah mengehadkan perbelanjaan golongan rakyat pertengahan dan bawahan,” katanya.

Pekerja swasta Mohd Hafiz Mat Shariff, 31, pula berkata pemansuhan tol di kedua-dua jambatan itu sesungguhnya memberi kesan positif kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana rendah.

“Perkara itu sememangnya menjimatkan kerana sekarang kami dah tak perlu untuk tambah nilai kad ‘Touch n Go’ yang paling minimum perlu masukkan RM10...lepas ni kami hanya perlu fikir isi minyak motor sahaja tanpa perlu fikir nak tambah nilai kad itu,” katanya.

Seorang lagi penunggang motosikal, Azlan Shahbidin, 29, berkata beban yang terpaksa ditanggung setiap kali ingin memasuki bahagian pulau selama lima tahun akhirnya dapat diringankan.

“Beban tol yang ditanggung hendak masuk ke pulau sejak saya mula kerja di kawasan perindustrian Bayan Lepas sejak lima tahun lalu akhirnya diberi perhatian. Sesungguhnya bukan saya seorang terkesan, malah ramai lagi...sangat bersyukur dengan pengumuman itu, terima kasih,” katanya.

Penunggang motosikal di jambatan pertama dikenakan tol RM1.20 untuk memasuki bahagian pulau manakala kadar tol untuk penunggang motosikal di Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah atau lebih dikenali sebagai jambatan kedua ialah RM1.70.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir negeri Zairil Khir Johari menyifatkan  pengumuman kerajaan untuk memansuhkan tol di kedua-dua jambatan itu bagi pengguna motosikal serta  jaminan tidak meningkatkan tol bagi kereta dapat membantu rakyat Pulau Pinang.

“Belanjawan 2019 adalah belanjawan yang optimis dan positif. Ia membuktikan kerajaan Pakatan Harapan sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat dan ingin menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi rakyat khususnya golongan B40,” katanya.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2019 mengumumkan  pemansuhan tol motosikal di jambatan pertama dan kedua di Pulau Pinang serta Lebuhraya Laluan Kedua di Johor mulai 1 Jan 2019. — Bernama

No comments

Loading...