Header Ads

Penduduk Selangor bertambah dua juta, B40 tetap dapat air percuma

Foto NST

SHAH ALAM, 26 Nov — Bilangan rakyat Selangor yang semakin meningkat merupakan antara faktor pemberian air percuma hanya terhad kepada golongan berpendapatan rendah (B40) bermula tahun depan, kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Beliau berkata disebabkan faktor itu, pemberian air percuma perlu dirasionalisasikan selaras dengan perbelanjaan kerajaan negeri yang turut meningkat.

Loading...

“Semasa pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (bekas menteri besar), jumlah rakyat Selangor waktu itu (2008-2014) hanya 4.6 juta sahaja, tetapi kini telah meningkat iaitu 6.4 juta.

“Sebab itu kita perlu menyusun perbelanjaan kita berdasarkan keadaan semasa selain melihat kepada kedudukan kewangan negeri,” katanya kepada pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai pelaksanaan pemberian air percuma yang akan terhad kepada golongan B40 bermula tahun depan dan bukan lagi untuk seluruh isi rumah di negeri itu seperti dinikmati sejak 2008.

Jumaat lepas, Amirudin berkata kerajaan Selangor akan membuat penjajaran semula berhubung pelaksanan air percuma 20 meter padu sebulan dengan tumpuan diberi kepada golongan B40.

Beliau dilaporkan berkata, langkah itu dibuat berikutan kerajaan negeri yakin kumpulan B40 lebih berkeperluan untuk mendapatkan air percuma selain lebih menghargai bantuan tersebut.

Menurut Amirudin, kos air percuma yang diberikan kepada seluruh lapisan rakyat pada waktu ini juga mungkin boleh dijimatkan pada masa akan datang sekiranya ia hanya diberikan kepada golongan bersasar.

“...dan kos ini pula boleh digunakan untuk tujuan lain termasuk menaikkan taraf infrastuktur di negeri ini,” katanya. — Bernama

No comments

Loading...