Header Ads

Pendakwa raya mohon bicarakan Rizal bersama Rosmah

Rizal Mansor dan Rosmah Mansor didakwa meminta dan menerima rasuah projek solar di sekolah di Sarawak yang terbengkalai.

Pihak pembelaan kepada bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Razak, Datuk Rizal Mansor, akan memfailkan permohonan untuk memindahkan kes meminta dan menerima rasuah berhubung Projek Bersepadu Sistem Solar untuk sekolah luar bandar Sarawak yang dihadapi anak guamnya ke Mahkamah Tinggi di sini.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Ridha Abdah Subri yang mewakili Rizal, 44, ketika kes disebut semula di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Rozina Ayob, hari ini lapor NSTP.

Loading...

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memberitahu mahkamah bahawa selepas kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, pihaknya akan mengemukakan permohonan untuk kes dibicarakan bersama dengan pertuduhan yang dihadapi Datin Seri Rosmah Mansor berhubung projek yang sama.

Mahkamah menetapkan 12 Disember ini untuk sebutan semula kes itu bagi mengetahui status permohonan untuk memindahkan kes itu.

Pada 15 November lalu, Rizal didakwa menerima rasuah RM500,000 bagi dirinya dan RM5 juta bagi pihak Datin Seri Rosmah Mansor membabitkan Projek Bersepadu Sistem Solar untuk sekolah luar bandar Sarawak.

Rizal yang juga bekas pegawai khas Rosmah turut didakwa meminta rasuah RM25 juta untuk dirinya dan bagi pihak Rosmah RM187.5 juta membabitkan projek sama.

Bagi tuduhan pertama, Rizal didakwa meminta bagi pihak Rosmah suatu suapan iaitu wang berjumlah RM187.5 juta yang juga 15 peratus daripada nilai kontrak daripada Saidi Abang Samsudin iaitu Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan untuk Rosmah melakukan suatu perkara yang dicadangkan iaitu membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel Bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Bagi tuduhan kedua, Rizal didakwa meminta bagi dirinya suatu suapan iaitu wang berjumlah RM25 juta daripada Saidi sebagai dorongan bagi dirinya (Rizal) melakukan suatu perkara yang dicadangkan iaitu memastikan Rosmah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek sama.

Bagi tuduhan menerima rasuah pula, Rizal didakwa menerima bagi pihak Rosmah suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM5 juta daripada Saidi sebagai upah bagi Rosmah kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek sama.

Tuduhan keempat, tertuduh didakwa telah secara rasuah menerima bagi dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM500,000 daripada individu sama sebagai upah kerana memastikan Rosmah membantu Jepak Holdings untuk mendapatkan projek serupa.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum dibawah subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

No comments

Loading...