Header Ads

Pemuda BERSATU tolak Icerd jika jejas Perlembagaan


Pemuda BERSATU akan menolak proses untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) jika ia melemahkan atau menghakis fungsi dan kesan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan, sistem Raja Berperlembagaan, kedudukan Islam, dan mana-mana hak termaktub dalam perlembagaan itu.

Ketuanya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata pendirian itu berdasarkan persefahaman dan ketetapan bersama parti komponen Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk meneruskan dan mensejahterakan Malaysia melalui asas dan dasar sedia ada dalam Perlembagaan Persekutuan.


Loading...
Menteri belia dan sukan itu berkata sebarang bentuk agenda untuk mengubah dan menggubal dasar-dasar kenegaraan Malaysia yang baru di dalam Perlembagaan Persekutuan hanya boleh dibuat melalui proses di Parlimen.

“Ini bermakna ia dibuat atas kehendak politik rakyat Malaysia sendiri tanpa campur tangan pihak asing. Kami menolak sebarang unsur tekanan dan ancaman pihak luar dalam proses menggubal apa sahaja undang-undang di Malaysia termasuklah Perlembagaan Persekutuan sekiranya ratifikasi ICERD dilaksana.

“Pemuda BERSATU mendesak pihak kerajaan mengkaji semula cadangan ratifikasi ini sama ada ia akan meletakkan undang-undang negara pada tahap sama dengan undang-undang antarabangsa kerana ia boleh mengakibatkan keseimbangan sosioekonomi dan hak-hak tertentu di Malaysia mula terhakis,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Kabinet belum membincangkan secara terperinci proses ratifikasi ICERD, namun begitu beliau memberi jaminan isu tersebut akan dibincangkan di Kabinet.

Syed Saddiq berkata selaku ketua pemuda beliau akan membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat Kabinet dan mendapatkan penjelasan pihak-pihak berkenaan mengenai usul itu.

Beliau juga memberi jaminan pemuda BERSATU akan terus berusaha memastikan kerajaan tidak lari daripada tujuan asal mentadbir Malaysia.

Beliau berkata resipi kejayaan sesebuah negara adalah berdasarkan acuan masing-masing dan tidak semestinya perlu menurut semua aturan yang diuar-uarkan oleh pihak luar.

“Dalam proses pembentukan sosioekonomi negara, akan terdapat perkara-perkara fundamental yang mungkin bercanggah dengan konsep universal yang diguna pakai oleh negara-negara tertentu, namun kita berhak membina model negara ini menggunakan cara dan acuan kita sendiri.

“Iaitu mengikut hukum agama, adat dan kearifan tempatan sesuai dengan prinsip Islam yang sejagat dalam menjaga kemuliaan insan, namun kerajaan Malaysia sama sekali tidak akan berlaku tidak adil dengan mana-mana pihak walaupun ICERD tidak diratifikasi,” katanya.

-Bernama

No comments

Loading...