Header Ads

Peguam Negara akan saman Goldman Sachs AS$4.5 bilion


Putrajaya bersiap sedia untuk memfailkan saman sivil terhadap Goldman Sachs bagi menuntut kerugian berjumlah AS$4.5 Bilion (RM18.88 bilion) daripada bank pelaburan Amerika Syarikat (AS) itu atas peranannya mendapatkan dana yang kemudiannya digelapkan daripada 1MDB, menurut laporan Asia Times.

Ini berikutan saman yang difailkan oleh International Petroleum Investment Co milik Abu Dhabi (IPIC) dan anak syarikatnya Aabar Investment pada 21 Nov terhadap Goldman Sachs kerana didakwa memberi rasuah kepada bekas pegawainya dalam skandal kewangan 1MDB itu.


Loading...
Memetik sumber “yang mengetahui tentang persediaan” itu, laporan Asia Times berkata, Peguam Negara, Tommy Thomas akan mengemukakan hujah bahawa pihak pengurusan tertinggi bank berkenaan mengetahui tentang penipuan tersebut.

Saman berkenaan akan menamakan eksekutif kanan Goldman, termasuk mereka yang belum didakwa dalam kes jenayah yang difailkan baru-baru ini oleh Jabatan Kehakiman AS (DoJ).

Menurut laporan itu lagi, Putrajaya akan mengemukakan hujah bahawa eksekutif kanan Goldman mengetahui perolehan daripada 3 keluaran bon 1MDB yang diruskan oleh bank berkenaan disalurkan kepada sebuah syarikat, Aabar BVI yang ditubuhkan di Kepulauan Virgin British, untuk kelihatan seperti syarikat dengan nama hampir sama, iaitu Aabar Investments, milik penjamin bon tersebut, syarikat pelaburan milik Abu Dhabi, IPIC.

Laporan itu menyebut, saman sivil terbaru Malaysia bernilai AS$4.5 bilion itu boleh menyebabkan penjualan baru saham senaraian awam bank berpangkalan di New York berkenaan.

Selepas memfailkan saman mereka, IPIC dan Aabar Investments berkata dalam satu kenyataan, “Goldman Sachs bersubahat dengan individu dari Malaysia untuk merasuah dan menyuap 2 pegawai, iaitu Khadem Abdulla Al-Qubaisi dan Mohamed Ahmed Badawy Al-Husseiny, bagi melanjutkan perniagaan Goldman Sachs, sekali gus merugikan kepentingan perniagaan IPIC dan Aabar Investments.”

DoJ sebelum itu mendakwa 2 bekas pegawai bank Goldman Sachs, iaitu Tim Leissner dan Roger Ng, selain ahli perniagaan yang kini diburu, Low taek Jho atau Jho Low, kerana peranan mereka yang membenarkan berlakunya penipuan dana 1MDB.

Pada 12 Nov, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Putrajaya akan menuntut dikembalikan wang berjumlah AS$600 juta yang dibayar kepada Goldman sebagai fi untuk mendapatkan dana berjumlah AS$6.5 bilion bagi pihak 1MDB dalam 3 keluaran bon berasingan antara 2012 dan 2013.

Menurut Asia Times, peningkatan mendadak dalam kerugian yang dituntut oleh Putrajaya daripada fi sebanyak AS$600 juta kepada AS$4.5 bilion, selain niat untuk memfailkan kes sivil formal terhadap Goldman, membayangkan paras keyakinan baru kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menuntut keadilan berhubung penipuan berkaitan skandal 1MDB melalui sistem perundangan asing.

Ia mengisyaratkan, menurut laporan itu, bahawa Dr Mahathir kini mengambil “pendekatan agresif tetapi praktikal” dalam menunaikan janji pilihan raya untuk segera mendapatkan semula wang berjumlah berbilion ringgit yang dicuri daripada 1MDB.

Janji tersebut merupakan sebab utama kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya yang menjatuhkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan kerajaan Barisan Nasional pimpinannya, kata laporan itu lagi.

“Sehingga kini, usaha kerajaan Malaysia mendapatkan semula wang 1MDB yang hilang bergantung sebahagian besarnya atas kerjasama dengan DoJ dalam satu langkah sejagat yang bertujuan membina kes sivil dan jenayah terhadap individu terbabit dalam usaha mendapatkan semula aset serta dana yang bertaburan di lebih sedozen sistem perundangan di seluruh dunia.

“Walaupun ini kelihatan seperti langkah penting dalam strategi mendapatkan semula dana 1MDB oleh Malaysia, namun penyiasatan DoJ yang lembab ke atas beberapa individu setakat ini, ternyata menyebabkan Tommy mengambil remedi perundangan lebih cepat dengan menyasarkan Goldman di mahkamah AS,” kata laporan tersebut.

Pada 30 Okt, Tommy berkata, pejabatnya akan mencabar “bayaran persetujuan” yang ditandatangani Najib dan difailkan di Mahkamah Timbangtara London, yang menghendaki Malaysia membayar sebanyak AS$5.78 bilion kepada IPIC dalam tempoh 5 tahun sebagai penjamin bon 1MDB yang dikeluarkan dengan bantuan Goldman.

Fi terbabit merangkumi sejumlah besar bayaran faedah, yang jika dilunaskan akan terpaksa ditanggung oleh pembayar cukai di Malaysia.

Di bawah perjanjian itu dan setakat Okt 2018, kerajaan Malaysia berhutang dengan IPIC sebanyak AS$1.2 bilion – jumlah yang mahu diketepikan oleh kerajaan Dr Mahathir.

Najib, yang menubuhkan 1MDB, kini berhadapan dengan pertuduhan pengubahan wang. Beliau bagaimanapun memohon dibicarakan. - FMT

No comments

Loading...