Header Ads

Najib dan 5 lagi termasuk bekas menteri dijangka hadapi pertuduhan baru


Datuk Seri Najib Razak, dua bekas menteri dan seorang bekas timbalan menteri dijangka didakwa di mahkamah dalam masa terdekat kerana terbabit pelbagai kes penyelewengan projek bernilai jutaan ringgit.

Seorang bekas pegawai khas Najib dan seorang Ahli Parlimen juga dijangka menghadapi tuduhan.

Dua bekas menteri dan bekas pegawai khas itu berkemungkinan didakwa minggu depan, manakala yang lain proses siasatan masih diteruskan.


Loading...

Kes membabitkan Najib, seorang bekas menteri dan bekas pegawai khas itu difahamkan berkaitan projek pembekalan dan pemasangan panel tenaga solar kepada 369 sekolah di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Projek itu mencetuskan kontroversi selepas portal Sarawak Report mendedahkan beberapa surat ditandatangani Najib yang mengarahkan Kementerian Pendidikan menganugerahkan projek dan membuat pembayaran terus kepada syarikat penyewaan kenderaan berkenaan walaupun terma dalam kontrak tidak dipenuhi oleh syarikat itu.



Memetik laporan portal BH Online lagi, pada Julai lalu, seorang bekas pegawai khas Najib ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung projek itu.

Pada Oktober pula, media melaporkan bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid memberi keterangan selama lima jam kepada SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes sama.

Bagi kes seorang lagi bekas menteri, media melaporkan sebanyak 97 transaksi meragukan membabitkan penjualan tanah DBKL seluas 273.27 hektar bernilai RM5.63 bilion disiasat oleh satu pasukan khas ditubuhkan Kementerian Wilayah Persekutuan serta SPRM sejak 31 Julai lalu.

Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad, dilaporkan berkata daripada jumlah itu, 43 transaksi diteruskan jualan, 23 dirunding semula, 20 akan disiasat SPRM, 10 transaksi dibatalkan dan satu transaksi dibawa ke mahkamah oleh pemaju.

Lima daripada 43 transaksi itu dijual pada harga rendah berbanding harga sebenar, namun pasukan petugas khas mendapati penjualan tanah itu boleh diteruskan kerana membabitkan pembangunan Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP).

Bulan lalu, bekas menteri kementerian itu, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengakui SPRM memanggilnya lebih 12 kali berhubung isu penjualan tanah DBKL.

Bagi kes bekas timbalan menteri pula, ia dipercayai membabitkan penyelewengan dana Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bernilai RM25 juta yang juga menunggu masa untuk diseret ke mahkamah.

Kes Ahli Parlimen yang juga bekas pengerusi sebuah agensi berkaitan kerajaan itu pula berkaitan komisen yang diperoleh daripada pelbagai projek kerajaan.

Antaranya, pembinaan Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) sejauh 316 kilometer, pembelian ambulans oleh Kementerian Kesihatan dan penambaikan jalan raya di beberapa lokasi di Semenanjung.

No comments