Header Ads

Najib, belajarlah mengakui salah sendiri!!











Sesuatu yang orang kata "buruk perangai" oleh  Najib Razak ialah keengganannya mengaku sehingga sekarang mengenai sebab utama kekalahan UMNO dan BN dalam pilihanraya umum 9 Mei lalu.

Di sebalik semua orang mengakui skandal 1MDB adalah punca terbesarnya, Najib masih bertegas mendakwa kekalahan UMNO dan BN adalah  disebabkan penipuan, fitnah dan janji palsu oleh Pakatan Harapan.


Loading...

Beliau juga mendakwa padang yang tidak sama rata yang menyebabkan kekalahan BN kepada Pakatan Harapan itu.

Lebih buruk lagi ialah pentaksub Najib sendiri yang turut tidak mahu mengakui hakikat yang sama, meskipun sudah hampir enam bergelar pembangkang.

Sebab itu, apabila Khairy Jamaluddin menyanggah kata-kata Najib itu dengan mengingatkannya bahawa punca kekalahan BN ialah kerana 1MDB dan bukan kerana penipuan, fitnah serta janji palsu, beliau sendiri dilabel meroyan dan datang bulan.



Realitinya, penyokong setia Najib masih terkepung dengan kemajalan dalam berpolitik, pendek akal dan buruk perangai yang sama seperti Najib sendiri yang enggan mengakui kesalahan serta kelemahan - dulu kini dan selamanya.

Jika pun mereka tidak setuju dan ingin menyanggah kenyataan KJ itu, ia sepatutnya dilawan dengan hujah dan fakta, bukan dengan serangan seperti meroyan atau datang bulan.

Serangan terhadap KJ itu hanya memperlihatkan sesetengah pemimpin UMNO masih tidak berubah, apalagi mampu berhujah dan nampaknya hanya mahu mengekalkan budaya lama yang sudah pun ditolak rakyat dalam pilihanraya lalu.

Dalam hal ini KJ terlihat berniat baik dan ingin melihat UMNO pulih serta mendapat semula sokongan rakyat.

Lagi pula, selain pendakwaan sedang berjalan dan proses perbicaraan akan berlangsung tidak lama lagi, di Amerika Syarikat sendiri sudah ada yang mengakui terlibat dalam merancang penipuan berkaitan 1MDB itu.

Maka, di celah mana ia mahu dipertahankan lagi?

Dalam hal ini, UMNO bukan saja perlu memisahkan dirinya daripada Najib, malah jika terus membiarkan Najib menggunakan nama UMNO untuk membersihkan dirinya, parti itu tidak akan mampu bergerak ke depan dan memulihkan dirinya.

Selagi Najib terus bergayut dengan nama UMNO, malah enggan mengakui 1MDB sebagai punca kekalahan, malah syok sendiri mendakwa penipuan, fitnah, janji palsu dan padang yang tidak sama rata sebagai sebab-sebabnya, selagi itulah UMNO akan terus suram masa depannya.

Najib mesti belajar untuk mengakui silap dan salah sendiri. Tidak guna beliau terus mengatakan kekalahannya kerana fitnah, penipuan, janji palsu dan padang yang tidak sama rata ketika pilihanraya yang lalu.

Siapakah yang jadi memegang kuasa, yang menguasai jentera kerajaan, menguasai seluruh media dan mampu mengupah ribuan tentera maya dalam kempen PRU14 yang lepas?

Siapakah sebenarnya paling banyak mencipta fitnah, penipuan dan menabur janji palsu?

Jika BN yang menguasai kerajaan  ketika itu, tetapi Najib tetap mahu mendakwa padang masih tidak sama rata, di mana logiknya Pakatan Harapan yang hanya pembangkang boleh dikatakan ada kelebihan?

Di sebalik Najib mengatakan bahawa beliau direndam 10 kali pun hatinya tetap UMNO, ia adalah pernyataan bahawa beliau akan terus bergayut atas nama UMNO dan menggunakan sesetengah pemimpinnya untuk terus membela dan melindunginya.

Bermakna, untuk tempoh yang lebih lama lagi UMNO akan terus memikul nama  Najib, nama Rosmah dan nama 1MDB yang tidak lagi wangi dalam hari-hari muka yang akan dilaluinya.

Jika demikian, selain Presiden UMNO, Zahid Hamidi sendiri ada 45 kes pendakwaan, bagaimanakah UMNO mampu memulihkan dirinya dan boleh diterima dengan baik oleh rakyat jelata?

*Shahbudin Husin adalah penulis buku kritik politik terkenal. Tulisan adalah pendapat peribadi beliau yang tidak semestinya mewakili pendirian Malaysian Update.

No comments

Loading...