Header Ads

Najib, Azmin ‘tidak tahu’ usaha pujuk wakil PH lompat parti


Bekas pemimpin Barisan Nasional, dan juga pemimpin Pakatan Harapan, masing-masing tidak tahu usaha mengajak wakil-wakil rakyat PH melompat parti.

Perdana menteri dan pengerusi BN waktu itu Datuk Seri Najib Razak tidak mengetahui dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyebut kemenangan PH lewat diumumkan akibat masalah itu.


Loading...
“Jika ada pihak lain [berbuat begitu] maka saya tidak tahu apa-apa. Namun, pastinya tiada arahan seumpama itu pada malam tersebut,” kata Najib di lobi Parlimen hari ini.

Dalam wawancaranya dengan majalah Mekong Review, Dr Mahathir mendedahkan “ada banyak percaturan” yang menggugat gabungan tersebut pada 9 Mei lalu.

“Kerana hal ini pengumuman kemenangan kami dilambatkan,” katanya seperti dimuatkan di portal majalah kebudayaan dan politik itu hujung minggu lepas.

“Kami tahu kami sudah menang pada 8.30 malam tetapi kami tidak dapat pengumuman rasmi sehingga 2 pagi kerana dalam tempoh singkat itu, ada banyak percaturan yang tidak jelas kepada orang ramai.”

Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin juga tidak tahu dengan cubaan tersebut, yang disebut Dr Mahathir “cubaan dari dalam untuk menafikan kejayaan kami.”

“Saya tidak pasti apa yang dimaksudkan oleh perdana menteri atau dari mana maklumat yang beliau dapat, tetapi apa yang saya dengar dan lihat pada malam itu tidak seperti yang dikatakannya,” kata bekas menteri itu.

Tambahnya, kalaulah ada percubaan berbuat demikian, pastilah usaha itu datang daripada pemimpin atasan mana-mana parti terbabit.

Sementara itu timbalan presiden PKR tidak mengetahui cubaan untuk memujuk wakil-wakil rakyat PH, sama ada oleh Umno atau PAS, untuk menubuhkan kerajaan Melayu.

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjelaskan semua ahli parlimen PH berkumpul di sebuah hotel di Petaling Jaya dan menyokong kepemimpinan Dr Mahathir, lapor Berita Harian.

“Saya tidak tahu wujud cubaan untuk menarik ahli parlimen PH kerana apa yang saya faham ialah PH sudah mencapai konsensus akan menyokong Dr Mahathir sebagai perdana menteri,” katanya.

“Lebih baik [media] dapatkan penjelasan lanjut daripada Dr Mahathir sendiri.” - Projek MM

No comments


Loading...