Header Ads

Mohd Reza kini panglima TLDM

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu memakaikan pangkat kepada Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang baharu Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Panglima TLDM di Wisma Pertahanan hari ini. - Foto Bernama


KUALA LUMPUR - Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany dilantik sebagai Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang baharu menggantikan Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, berkuat kuasa hari ini.

Majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas antara Mohd Reza, yang sebelum ini Timbalan Panglima TLDM, dan Ahmad Kamarulzaman yang akan bercuti sebelum bersara, berlangsung di Kementerian Pertahanan di sini dengan disaksikan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Loading...


Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong dan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Mohd Reza, 55, merupakan Panglima TLDM ke-17. Beliau sebelum ini menjadi Timbalan Panglima TLDM pada 13 Julai 2018.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu menyertai TLDM pada 1 Mei 1981 selepas menamatkan pendidikan di Maktab Tentera Diraja.

Sepanjang perkhidmatan, Mohd Reza pernah menyandang beberapa jawatan penting termasuk Panglima Angkatan Bersama, Pegawai Pemerintah KD Lekiu, dan Panglima Markas Wilayah Laut 1 (Mawilla 1).

Dalam satu kenyataan, TLDM berkata sepanjang tiga tahun diterajui Ahmad Kamarulzaman, pasukan itu bergerak dengan lebih profesional seiring pemodenan dan pembangunan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia.

Ia berkata pelbagai inisiatif dan pendekatan dilaksana walaupun menghadapi kekangan dari sudut kewangan negara.

Program Transformasi Armada 15 ke 5 menjadi titik fokus bagi TLDM untuk mengatasi isu aset usang serta memacu usaha pemodenan TLDM.


"Tan Sri Kamarulzaman juga prihatin dalam soal perkembangan taraf kemahiran dan kelayakan akademik warga TLDM bagi membolehkan kemahiran dan pengetahuan yang dimiliki mereka diiktiraf sewajarnya," kata kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu, kejayaan filem Paskal The Movie membuka mata masyarakat dan negara jiran untuk mengenali lebih dekat peranan dan tanggungjawab Pasukan Khas Laut TLDM yang merupakan antara cabang di bawah perkhidmatan TLDM.- Bernama

-sinar harian

No comments

Loading...