Header Ads

Mahkamah tolak permohonan Najib kecuali diri daripada hadiri prosiding


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk mengecualikan diri daripada menghadiri prosiding pengurusan kes bagi kesemua pertuduhan dihadapinya.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan itu selepas peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon kehadiran anak guamnya dikecualikan pada pengurusan kes berhubung tiga tuduhan pecah amanah dan satu salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Nazlan dalam penghakimannya berkata, kehadiran Najib adalah perlu bagi membolehkan beliau mengikut prosiding kesnya.

Loading...

“Beliau perlu hadir, namun jika perkara itu tidak dipertikaikan, mungkin mahkamah boleh mempertimbangkan.

Terdahulu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, mempersoalkan kehadiran anak guamnya memandangkan prosiding hanya membabitkan pihak pendakwaan dan pembelaan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Sulaiman Abdullah, memberitahu kehadiran Najib adalah perlu kerana membabitkan kes penting.

“Setakat ini pihak kami tidak menerima sebarang arahan, namun secara peribadi beliau perlu hadir,” katanya.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 29 November ini untuk sebutan semula dan pengurusan kes.

Sementara itu, mahkamah turut membenarkan kes membabitkan 25 pertuduhan rasuah dan kegiatan pengubahan wang haram berjumlah hampir RM2.3 bilion dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Najib yang diwakili peguam, Havinderjit Singh, manakala Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili pihak pendakwaan, memberitahu mahkamah pihaknya tiada sebarang bantahan terhadap permohonan memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Najib sebelum ini berdepan dengan empat siri pertuduhan di mahkamah iaitu pada 4 Julai, 7 Ogos, 20 September dan 25 Oktober.

Pada 4 Julai lalu, Najib didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan rasuah, secara keseluruhan membabitkan wang berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos pula, Najib mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan diri dalam kegiatan pengubahan wang haram.

Sementara itu, pada 20 September, Najib mengaku tidak bersalah terhadap 25 pertuduhan termasuk empat tuduhan rasuah dan 21 pertuduhan membabitkan diri dalam kegiatan pengubahan wang haram berjumlah hampir RM2.3 bilion.

Manakala pada 25 Oktober, Najib bersama Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, didakwa bersama atas enam tuduhan pecah amanah wang milik kerajaan berjumlah lebih RM6.6 bilion. - BH Online

No comments

Loading...