Header Ads

Lelaki dera Zara dipenjara 20 tahun, 12 sebatan

Tinggal kenangan, Zara bersama ibunya, Noraihan Ab. Aziz. - Kosmo!

KAJANG, 28 Nov ― Suami kepada pengasuh bayi Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal atau Zara, yang mati secara tragis dipercayai didera secara fizikal dan seksual dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dengan 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kajang di sini, hari ini kerana memasukkan jari ke dalam kemaluan dan dubur bayi itu.

Hakim Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu terhadap Hazmi Majid, 36, selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan itu terhadap bayi malang berusia 11 bulan itu, awal bulan ini.


Loading...
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh yang bekerja sebagai tukang gunting rambut itu didakwa memasukkan jari ke dalam kemaluan dan dubur bayi perempuan itu di sebuah rumah di Apartment Sri Cempaka, Jalan 6/3, Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, dekat sini, antara 10.30 pagi dan 1.30 petang, 7 Nov lalu.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun serta sebat.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 20 tahun dan enam kali sebatan bagi pertuduhan pertama dan penjara 20 tahun dan enam kali sebatan bagi pertuduhan kedua dan memerintahkan  hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh tangkap  pada 13 Nov lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria memohon hukuman berat ke atas tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius melibatkan mangsa berumur 11 bulan yang tidak berdaya untuk mempertahankan diri sendiri.

“Tertuduh merupakan suami kepada pengasuh mangsa yang sepatutnya turut menjaga mangsa bukannya mengambil kesempatan ke atas mangsa. Kesalahan terhadap bayi dan kanak-kanak juga semakin menular dalam kalangan masyarakat hari ini,” katanya.

Bagaimanapun, Hazmi yang tidak diwakili peguam  merayu hukuman ringan atas alasan hanya dia sahaja yang bekerja dan perlu menanggung isteri dan tiga orang anak.

Pada 23 Nov lalu, Hazmi didakwa di Mahkamah Majistret Kajang atas pertuduhan membunuh bayi perempuan tersebut  di tempat sama.

Sebelum ini, media melaporkan perbuatan tidak berperikemanusiaan dilakukan ke atas Nur Muazara Ulfa yang meninggal dunia selepas dua hari berada dalam keadaan kritikal di Hospital Serdang, Selangor, dipercayai akibat didera secara fizikal dan seksual oleh suami kepada pengasuhnya.

Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut ke atas mangsa mendapati terdapat kesan koyakan pada selaput dara dan duburnya manakala hasil bedah siasat Jabatan Patologi Hospital Serdang mendapati punca kematian mangsa disebabkan ‘impak dipercayai objek tumpul terhadap kepala’ dengan tempurung kepala mangsa pecah selain kesan lebam pada bahagian atas kiri dan kanan kepala mangsa. ― Bernama

No comments

Loading...