Header Ads

Lagi 2 Adun sertai Bersatu selepas enam bulan keluar Umno


Dua lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bebas di Johor disahkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekaligus menjadikan kerusi yang dipegang oleh Pakatan Harapan (PH) kini sebanyak 39 kerusi.

Dua Adun itu yang merupakan bekas ahli Umno ialah Adun Sedili, Rasman Ithnain dan Adun Johor Lama, Rosleli Jahari.


Loading...

Perkara itu disahkan oleh Menteri Besar Osman Sapian yang juga Pemangku Pengerusi PH Johor hari ini.

Osman, yang juga Pengerusi Bersatu Johor itu berkata keahlian Rasman dan Rosleli sebagai ahli Bersatu, sah diterima mulai 19 November lalu.



Ini bermakna tiada lagi Adun bebas di Johor.

Sebelum ini Adun Endau (Alwiyah Talib) juga sah menyertai Bersatu sejak dua bulan lalu, katanya selepas taklimat sempena pembentangan Belanjawan Johor 2018 bersama ketua-ketua biro media Johor, di Iskandar Puteri, Johor petang tadi.

Osman berkata parti itu mengambil masa yang lama kerana perlu melalui prosedur dan tapisan bagi memastikan ketiga-tiga Adun itu benar-benar layak dan boleh menyertai Bersatu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, PH memenangi 36 daripada 56 kerusi DUN dengan DAP memenangi 14 kerusi, Parti Amanah Negara (sembilan kerusi), Bersatu (lapan kerusi) dan PKR (lima kerusi) manakala Barisan Nasional (BN) memenangi 19 kerusi dan PAS satu kerusi.

Bagaimanapun, tiga Adun Umno telah mengumumkan keluar dari BN dan menyatakan hasrat untuk menyertai Bersatu pada 12 Mei lepas.

Dengan kemasukan tiga Adun berkenaan, kerusi BN menjadi 16 kerusi dan Pas kekal dengan satu kerusi.

- Bernama

No comments

Loading...