Header Ads

Kes dera Nur Muazara: Ibu tidak dapat terima penjelasan pengasuh


KUALA LUMPUR - Pengasuh kepada Nur Muazara Ulfa Muhammad Zainal memberi alasan tidak tahu apa yang berlaku apabila disoal oleh ibu bayi malang itu mengenai kecederaan yang dialami anak keduanya itu.

"Kalau abe (suami) akak salah, akak terima je (sahaja) .. sbb aku btl2 (betul-betul) xth (tak tahu)...skrg (sekarang) ni abe (abang) kat balai polis kalau ye (betul) salah akak terima," itu respons balas pengasuh berkenaan melalui aplikasi WhatsApp kepada ibu Zara, Noraihan Ab. Aziz, 22, pada Khamis lepas.


Loading...

Jawapan itu diberi selepas Noraihan menyoal beliau tentang kesan koyakan sehingga satu sentimeter di kemaluan anaknya berusia 11 bulan selain mendesak pengasuh itu untuk berterus terang sama ada suaminya melakukan perkara terkutuk tersebut.

"Kalau disebabkan tercekik buah epal, macam mana kepala bayi saya boleh retak tiga tempat, macam mana kemaluan anak saya boleh terkoyak? Hati saya kuat mengatakan suami akak bersalah," soalnya kepada pengasuh menerusi aplikasi WhatsApp tetapi pengasuh hanya meminta maaf dan membalas tidak tahu-menahu akan perkara itu.

Noraihan dimaklumkan pihak Hospital Serdang pada petang Rabu bahawa Zara dihantar ke hospital itu oleh pengasuh dan suaminya selepas pasangan itu mendakwa bayi berkenaan tercekik epal.

Mesej WhatsApp bertarikh 8 November itu didedahkan kepada Bernama hari ini.

Zara meninggal dunia pada Jumaat selepas dua hari berada dalam keadaan kritikal di Hospital Serdang, dipercayai akibat didera secara fizikal dan seksual oleh suami kepada pengasuhnya sendiri.

Menjelaskan mengenai kecaman masyarakat bahawa beliau lambat bertindak setelah mendapati kesan lebam pada tubuh Zara, ibu kepada dua anak itu menjelaskan beliau terpaksa menghantar Zara kepada pengasuh tersebut sementara mengambil pengasuh baharu.

"Saya terpaksa hantar Zara minggu tersebut kerana tiada pengasuh lain dan saya pujuk diri saya, tak apa, minggu ini sahaja, bertahanlah sehingga saya dapat berhubung dengan pengasuh lain," katanya sebak mengenangkan kisah itu.

Zara selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Lubok Gong, Kelantan, jam 7.50 pagi Sabtu.

Suami pengasuh yang bekerja sebagai penggunting rambut ditahan reman selama lima hari sehingga 13 November dan ujian saringan air kencing dilakukan terhadap suspek didapati positif methamphetamine.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Bernama

No comments

Loading...