Header Ads

Kedah akan kemuka cadangan untuk lonjakkan Langkawi

Foto Kosmo!

KUBANG PASU - Kerajaan Kedah akan berbincang dengan kerajaan persekutuan bagi melaksanakan beberapa usaha yang diyakini dapat membantu melonjakkan Langkawi sebagai destinasi pelancongan yang dapat bersaing dengan pulau peranginan di negara jiran.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, langkah itu selaras dengan keputusan kerajaan pusat yang berhasrat mengembangkan lagi status pulau Langkawi sebagai zon bebas cukai.


Loading...
"Sebelum ini terdapat ura-ura bahawa status pulau bebas cukai Langkawi mahu ditarik balik oleh pimpinan pentadbiran terdahulu, tetapi dalam Belanjawan  2019, kita sudah diberi jaminan bahawa bukan hanya status Langkawi dikekalkan malah akan ditambah baik lagi.

"Selain keindahan dan perkhidmatan hotel lima bintang yang ada di pulau tersebut, antara daya tarikan di Langkawi ialah bebas cukai, jadi nanti kita akan kemukakan beberapa idea kepada kerajaan pusat untuk dipertimbangkan," katanya kepada pemberita hari ini.

Dalam pembentangan Belanjawan  2019 pada Jumaat, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan akan memperkasakan lagi sektor pelancongan negara ini antara mengembangkan taraf Pulau Langkawi selaku pulau bebas cukai.

Terdahulu, Mukhriz semasa merasmikan penutupan Kursus Profesionalisme Pengurusan dan Pentadbiran Masjid Daerah Kubang Pasu, berharap institusi masjid di negeri ini dapat memainkan peranan utama dalam  merealisasikan dan menterjemahkan nilai-nilai Islam yang sebenar.

"Saya harap jawatankuasa pengurusan masjid dan pegawai agama yang dilantik dapat merancang program-program yang melibatkan semua lapisan masyarakat Islam di setiap kariah dari semasa ke semasa dengan bantuan dan kerjasama agensi-agensi kerajaan," katanya. - Bernama

No comments

Loading...