Header Ads

KDN: Tindakan tegas jika syarikat konsesi seleweng sistem imigresen


Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membangunkan sistem baharu yang lebih efisien untuk memastikan sistem imigresen yang lebih cekap, selamat dan menjimatkan kos, kata menterinya Muhyiddin Yassin hari ini.

Beliau berkata KDN akan mengemukakan cadangan kepada kabinet untuk menaik taraf sistem imigresen sedia ada sebelum membangunkan sistem baru itu.


Loading...
Muhyiddin berkata sejak memulakan tugas sebagai Menteri Dalam Negeri, beliau telah mengarahkan pengurusan KDN untuk mengkaji semula perjanjian-perjanjian konsesi dengan vendor-vendor yang mengendalikan pelbagai sistem imigresen termasuk sistem Visa Luar Negara (VLN).

“Tujuan kajian semula ini ialah untuk memastikan kepentingan kerajaan dan keselamatan negara tidak terjejas oleh sebarang bentuk kelemahan yang berkemungkinan wujud dalam perjanjian mahupun pelaksanaan sistem,” katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya hari ini.

Muhyiddin berkata KDN memandang serius pendedahan oleh sebuah akhbar hari ini mengenai dakwaan kelemahan sistem VLN dalam talian termasuk eNTRI dan eVISA untuk pelancong dari negara China serta India yang ingin memasuki Malaysia.

Beliau berkata pelaksanaan sistem eNTRI yang dikendalikan oleh syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) melalui satu perjanjian konsesi dengan KDN sejak tahun 2016 dikatakan gagal berperanan sebagai sistem saringan dan tapisan awal ke atas warga China yang memasuki negara ini.

Menurut Muhyiddin, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat pelbagai dakwaan penyelewengan yang melibatkan beberapa syarikat konsesi yang mendapat hak untuk mengendalikan sistem imigresen.

“Pihak KDN memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dalam menjalankan siasatan.

“KDN tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak jika terdapat bukti mengenai kelemahan atau penyelewengan dalam pelaksanaan sistem ini,” katanya.

- Bernama

No comments