Header Ads

Jangan perlekeh usaha perkenal kokurikulum renang, kata Menteri

Foto The Star

Usaha Kementerian Pendidikan yang mahu memperkenalkan kokurikulum belajar berenang kepada murid sekolah perlu dilihat daripada sudut positif, kata menterinya Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata usaha itu tidak seharusnya diperlekehkan, malah perlu dilihat sebagai satu kemajuan dalam kokurikulum murid selari dengan pembangunan holistik pelajar itu sendiri.


Loading...
"Kita bukan ingin sekadar melahirkan murid yang cemerlang dalam bidang akademik semata-mata, tapi juga mempunyai kemahiran dalam bidang kemahiran renang dan keselamatan dalam air.

"Kita ingin bergerak seiring negara maju, seperti Singapura dan negara-negara lain. Malah beberapa sekolah swasta di Malaysia juga mempunyai kokurikulum renang," katanya kepada pemberita di Parlimen, hari ini.

Semalam, Maszlee berkata kementeriannya akan berbincang dengan industri perhotelan berhubung keperluan menggunakan kolam renang mereka bagi pelajaran renang untuk pelajar sekolah yang akan diwajibkan kelak.

Perkara itu mendapat reaksi Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng yang dilaporkan media menyatakan kehadiran pelajar di kolam renang hotel bagi mengikuti kelas renang dikhuatiri akan mengganggu pelanggan yang menggunakan kemudahan itu, seterusnya memberi kesan negatif kepada industri pelancongan.

Maszlee menjelaskan saranan supaya hotel menawarkan premis mereka hanya sebagai usaha kementerian untuk menambah lokasi belajar renang sekolah.

Beliau berkata ia juga sebagai sebahagian program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihak hotel secara sukarela.

"Kami tidak memaksa sesiapa tetapi menyarankan agar pihak berkaitan seperti hotel, persatuan dan kelab yang mempunyai kemudahan kolam renang turut serta dalam usaha memajukan anak-anak ini.

"Kementerian sasar dalam tempoh 20 tahun ini, pelajar bukan sahaja mahir berenang tetapi mempunyai kemahiran lain seperti menyelamatkan diri dan peka terhadap bahaya berkaitan dengan air," katanya. - Bernama

No comments

Loading...