Header Ads

Ibu rayu penculik bebaskan anaknya


Seorang ibu hari ini merayu agar anak lelakinya yang diculik dan dilarikan ke negara jiran sejak lebih setahun dibebaskan kerana keluarnya telahpun menuruti segala kemahuan pihak penculik berkenaan.

Wan Shariza Wan Zulkifli, 51, berkata sejak Mohamad Aiman Zafri, 25, dilarikan sekumpulan lelaki pada Julai tahun lepas dan membayar RM22,000 sebagai wang tebusan namun anaknya itu sehingga sekarang masih belum dibebaskan kumpulan itu.


Loading...
“Saya tidak tahu bagaimana nasib anak kedua saya itu sama ada masih hidup atau tiada dan saya berharap jika masih hidup, dia dapat dilepaskan untuk kembali ke pangkuan keluarga,” katanya kepada pemberita di Kota Bharu, hari ini.

Wan Shariza berkata anaknya dibawa lari dalam kejadian 11 malam di Jalan Pekeliling di sini pada 5 Julai 2017 tanpa mengetahui punca sebenar anaknya itu dilarikan.

“Namun penculik ada meminta wang tebusan sebanyak RM50,000 dengan mengatakan anaknya itu ada berhutang dengan mereka,” katanya.

Ketika kejadian Mohamad Aiman serta isterinya Nur Azra Syazwani Abdullah, 25, dalam perjalanan pulang dari tempat kerja dengan menaiki sebuah kereta Perodua Kancil sebelum mereka berhenti di sebuah kedai runcit dan secara tiba-tiba tiga lelaki bersenjatakan kayu keluar dari kereta dan memaksa mangsa masuk ke kereta mereka.

Sementara itu, Nur Azra berkata, melalui panggilan telefon daripada suaminya selang tidak lama selepas itu sempat memberitahu penculik akan membawanya ke Pekan Golok, Selatan Thailand untuk berbincang suatu perkara.

Dia yang bekerja sebagai penyambut tetamu sebuah hotel dekat Wakaf Che Yeh di Kelantan, berkata selepas kejadian dia terus membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu kira-kira pukul 12 tengah malam, hari yang sama berhubung kejadian.

Pada keesokannya, seorang lelaki menggunakan nombor telefon pendaftaran negara jiran menghubungi dengan meminta wang sebanyak RM50,000 sebagai tebusan jika mahu melihat suaminya selamat.

"Ketika perbincangan kami merayu agar wang tebusan dikurangkan daripada RM50,000 kepada RM20,000 dan ditambah lagi RM2,000 selepas itu kerana tidak mempunyai wang dan selepas persetujuan dicapai wang berkenaan diarah ditinggalkan di sebuah perhentian bas di Batu Karang, Rantau Panjang kira-kira pukul 8 malam pada 14 Julai 2017,” katanya.

“Setelah berbuat demikian, kami diminta mengambil mangsa di Pengkalan Lubok, Rantau Panjang. Namun, kami menunggu hingga pukul 1.00 pagi tetapi suami saya tidak kelihatan,” katanya.

Nor Azra berkata suspek kemudian ada menghubungi keluarganya lagi untuk mendapatkan baki wang tebusan dan kali terakhir mendapat berita tentang mangsa pada 13 Ogos tahun lepas dan merayu agar suamniya itu dilepaskan dan tidak dicederakan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Supt Noor Halim Nordin berkata, pihak polis sebenarnya masih meneruskan siasatan kes yang diklasifikasikan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang ke negara jiran.

Beliau berkata polis juga merujuk kes berkenaan kepada pihak berkuasa negara jiran dan Interpol untuk sebarang maklumat.

"Berkaitan kes itu polis turut melakukan serbuan di Rantau Panjang dan menahan seorang wanita dan empat lelaki berusia antara 21 hingga 26 tahun dan kita percaya kesemua yang terlibat mengenali antara satu sama lain,” katanya.

- Bernama

No comments

Loading...