Header Ads

Harap peruntukan RM14.6j daripada KPKT



GEORGETOWN - Pulau Pinang berharap akan memperoleh dana RM14.6 juta daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk  Tabung Penyelenggaran 1 Malaysia (TP1M) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Negeri, Kerajaan Tempatan, Bandar dan Pembangunan Luar Bandar, Jagdeep Singh Deo berkata, permintaan bantuan dana untuk TP1M dan PPR  itu  masing-masing berjumlah RM14 juta dan RM600,000.

Loading...


"Kami mengharapkan  berita baik daripada  KPKT, dan apa jua jumlah yang mereka berikan kepada kami, kami akan sangat menghargai," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau menambah bahawa kerajaan persekutuan sebelum ini tidak memberi bantuan berkenaan.

Jagdeep, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Dato Keramat, berkata semasa kerajaan persekutuan sebelum ini, hanya 29 daripada 143 projek perumahan yang diluluskan dan tidak ada projek perumahan yang diluluskan dari 2015 hingga 2017.

Beliau berharap kerajaan persekutuan yang baharu akan lebih bertanggungjawab dan dapat menimbang beberapa projek perumahan yang telah lama dan yang masih menunggu dan boleh diharapkan dalam meluluskan projek perumahan pada masa akan datang.

Terdahulu, Jagdeep telah meluluskan permohonan Penyelenggaraan Perumahan Maksimum 80 peratus Dana (TPM80PP) negeri untuk menaik taraf tiga lif di pangsapuri Medan Ria yang menelan kos sebanyak RM244,000.

Jagdeep berkata TPM80PP,  merupakan inisiatif  kerajaan negeri pada tahun 2013 dan daripada  hanya lapan permohonan sejak tahun pertama program, telah meningkat sehingga 96 permohonan pada tahun ini.


"Sehingga kini, di bawah TPM80PP, kita telah meluluskan 209 permohonan skim perumahan di kesemua lima daerah di Pulau Pinang, dengan sejumlah 359 projek dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM31.08 juta," katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada ketua menteri  Chow Kon Yeow yang telah meluluskan projek TPM80PP dengan jumlah sebanyak RM 6.8 juta pada tahun depan di bawah Bajet Pulau Pinang 2019. - Bernama

-sinar harian

No comments

Loading...