Header Ads

Enggan duduk dikandang tertuduh, Najib boleh kena perintah menghina mahkamah

Najib Razak tidak mahu duduk di kandang orang kena tuduh [OKT] ketika kes beliau dibacakan di mahkamah. – Foto The Malaysian Times

Keengganan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk masuk ke kandang tertuduh pada prosiding sebutan kes salah guna jawatan dan aktiviti pengubahan wang haram dihadapinya, boleh menyebabkan beliau dikenakan perintah menghina mahkamah.

Peguam Fahmi Abdul Moin dilapor NSTP berkata, jika hakim yang mendengar kes itu mengarahkan Najib berada di dalam kandang tertuduh dan beliau enggan berbuat demikian, maka ia boleh membawa kepada tindakan menghina mahkamah.


Loading...
Beliau berkata Najib boleh didenda atau dipenjarakan atas tindakan itu kerana pada asasnya mana-mana tertuduh dikehendaki berada di dalam kandang tertuduh tanpa mengira status atau kedudukan.

“Sekiranya tertuduh enggan duduk di dalam kandang tertuduh, maka hakim atau majistret seharusnya menggunakan kuasa mereka untuk mengarahkan tertuduh berada di tempatnya (kandang tertuduh).

“Tiada peruntukan spesifik di dalam Kanun Acara Jenayah bahawa tertuduh harus duduk dalam kandang tertuduh tetapi ia proses yang dihormati dalam mana-mana mahkamah di dunia iaitu mereka harus duduk di dalam kandang dalam apa juga proses sama ada untuk pengurusan kes, sebutan atau pada perbicaraan.

“Di dalam kes ini, walaupun alasan ia hanya sebutan kes, tetapi keengganan beliau (Najib) duduk di dalam kandang adalah satu kelakuan menghina mahkamah dan tidak menghormati institusi Kehakiman,” kata Fahmi yang juga bekas Timbalan Pendakwa Raya.

Pada prosiding sebutan kes itu di Mahkamah Sesyen semalam, Najib hanya duduk di kerusi bersebelahan kandang tertuduh dan enggan memasuki kandang tertuduh walaupun sudah diminta polis untuk berbuat demikian.

Prosiding semalam adalah sebutan semula kes Najib berhubung 25 tuduhan salah guna kedudukan dan aktiviti pengubahan wang haram berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad.

Najib didakwa atas empat tuduhan iaitu sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah bagi dirinya sendiri.

Beliau didakwa menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2,282,937,678.41 menerusi beberapa transaksi, di antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.

Bagi 21 tuduhan lagi, Najib didakwa membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu menerima, memindahkan dan membayar jumlah sama hasil daripada aktiviti haram.

No comments