Header Ads

Dr M: Laporan pemulihan k'jaan keluar tahun depan


Laporan penuh mengenai “damage control” (pemulihan) yang dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan selepas mengambil alih pentadbiran negara akan dikeluarkan tahun depan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya laporan itu akan mengandungi butiran mengenai hasil tindakan oleh kerajaan sekarang dalam menangani masalah yang ditinggalkan oleh kerajaan sebelum ini.

Loading...

"Kita nak tengok hasil tindakan yang diambil oleh kerajaan; kedua-duanya – berhubung hutang yang besar yang perlu kita tanggung, dan juga penstrukturan semula pentadbiran kerajaan.

"Laporan itu akan disediakan oleh kami (kerajaan) dan akan dikeluarkan tahun depan,” kata Dr Mahathir kepada pemberita selepas menghadiri jamuan malam Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Petaling Jaya malam tadi.

Turut hadir, isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan presiden persatuan itu Tan Sri Sallehuddin Mohamed.

Terdahulu, Dr Mahathir melancarkan Yayasan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik.

Sementara itu, perdana menteri mengulangi jaminan bahawa Malaysia akan muncul semula sebagai Harimau Asia, di bawah kerajaan PH.

"Kami sedang muncul kembali, dengan syarat kita bekerja keras, jujur dan tidak dipengaruh oleh rasuah dan kita tidak mencuri wang, maka saya yakin kita sekali lagi akan muncul sebagai Asian Tiger," kata beliau.

Dr Mahathir juga memuji kakitangan awam kerana kegemilangan Malaysia semasa penggal pertama pentadirannya, dengan menyatakan bahawa kerjasama mereka yang tidak berbelah bahagi dengan pentadibaran ketika itu membantu negara mencapai kejayaan.

"Saya bersyukur dalam tempoh 22 tahun itu, saya tidak hadapi masalah. Sebarang keputusan saya buat, saya yakin akan dilaksanakan oleh kakitangan awam.

"Kerjasama mantap daripada PTD sebagai jentera kerajaan itulah yang menjadikan Malaysia ketika itu sebagai Asian Tiger", kata beliau.

- Bernama

No comments

Loading...