Header Ads

Bukan bantah ICERD tapi tolak PM Dr Mahathir

Kedegilan UMNO dan Pas untuk terus berhimpun pada 8 Disember bukanlah membantah ICERD sepenuhnya tetapi untuk mengajak rakyat menolak kepimpinan Tun Mahathir. – Utusan Online

oleh Shahbudin Husin

Meskipun kerajaan semalam telah membuat keputusan tidak akan meratifikasi atau mengesahkan ICERD, satu konvensyen PBB mengenai penghapusan diskriminasi kaum, tetapi UMNO dan Pas nampaknya tetap mahu mengadakan perhimpunan bantahan pada 8 Disember depan ini.

UMNO, melalui kenyataan yang dibuat oleh Presidennya, Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung, Annuar Musa menyatakan pengumuman kerajaan menolak ICERD sekadar melalui kenyataan media yang tidak bertandatangan adalah tidak memadai untuk dipatuhi.

Loading...

Sebaliknya, mereka menuntut ianya mesti dibuat dalam suatu pengumuman di Parlimen.

Gambarannya ialah dengan menolak keputusan kerajaan itu bermakna UMNO tetap akan berhimpun bersama dengan Pas pada 8 Disember nanti.

Kedua-dua Zahid Hamdi dan Annuar pernah menjadi menteri sebelum ini, namun mereka terlihat sengaja menimbulkan persoalan baru berhubung keputusan kerajaan menolak ICERD itu sebagai alasan untuk terus berhimpun dan mencetuskan huru-hara dalam negara.

Sebetulnya, keputusan yang dibuat oleh kerajaan semalam bukan semata-mata kenyataan media biasa oleh Pejabat Perdana Menteri atau keputusan Tun Mahathir Mohamad seorang, tetapi ia adalah keputusan kabinet yang dibuat secara sebulat suara oleh semua menteri-menteri.

Sesuai dengan kerajaan yang memutuskan tidak akan menandatangani ICERD itu, maka sudah tentu keputusan oleh kabinet adalah yang paling sesuai dan munasabah sekali dan cara yang biasa dilakukan ialah melalui kenyataan akhbar.

Susahkah Zahid Hamidi dan Annuar nak faham dan hadam mengenainya?

Kalau kenyataan akhbar yang tidak bertandatangan mahu dipertikaikan, pernahkah Najib Razak, Zahid Hamidi atau Annuar sendiri menurunkan tandatangan dalam kenyataan akhbar mereka sebelum ini?

Pas pula memberi alasan akan terus berhimpun pada 8 Disember nanti sebagai tanda kesyukuran kerana ICERD akhirnya tidak akan ditandatangani oleh kerajaan.

Maknanya, daripada berhimpun untuk membantah ICERD, Pas kini mahu terus berhimpun kerana ICERD telah pun dibatalkan.

Pasti Islam ini pun pelik juga. Biasanya orang berhimpun di tempat terbuka hanya kerana ingin menyatakan bantahan dan ketidakpuasan hati terhadap sesuatu perkara, bukan untuk bersyukur

Kalau mahu mengadakan kesyukuran, buatlah di masjid atau berziarah sambil bersedekah ke rumah anak-anak yatim.

Sebenarnya, sama seperti UMNO, Pas juga sudah hilang modal untuk terus menggugat kestabilan kerajaan apabila kabinet dengan segera membuat keputusan tidak akan menandatangani ICERD itu, meskipun mereka telah membuat persiapan seperti menempah ribuan baju T dan melakukan kutipan derma melalui tin-tin milo di pelbagai majlis ceramah kebelakangan ini.

Keinginan UMNO dan Pas untuk terus berhimpun pada 8 Disember depan, meskipun setelah kerajaan memutuskan tidak akan menandatangani ICERD tidak lain hanya menyerlahkan niat dan tujuan sebenar kedua-dua parti itu melakukan bantahan.

Sepertimana kata Muhyiddin Yassin, Menteri Dalam Negeri melalui kenyataannya malam tadi, tidak perlu dan tidak munasabah lagi untuk sesiapa meneruskan bantahan berikutan keputusan kerajaan berkaitan ICERD itu.

Sambil mengingatkan mereka yang mahu berbuat demikian bahawa mereka kini tertakluk kepada Akta Perhimpunan Aman 2012 serta terikat dengan syarat-syarat yang akan ditetapkan oleh pihak polis, Muhyiddin juga menegaskan tindakan tegas berlandaskan undang-undang turut akan diambil jika tercetusnya ketegangan kaum serta agama menerusi perhimpunan itu nanti.

Faham tak?

Kalau tak faham lagi, barangkali hanya gari dan lokap saja ubat paling mujarab untuk mereka itu, waima kepada Zahid Hamidi, Annuar Musa, Hadi Awang atau Tuan Ibrahim Tuan Man sekali pun.

Apakah makna semua ini?

Kedegilan UMNO dan Pas untuk terus berhimpun pada 8 Disember depan tidak lain memperlihatkan niat sebenar kedua-dua parti itu bahawa ICERD bukanlah sasaran yang sebenarnya yang mahu mereka diperjuangkan, tetapi yang dimatlamatkan ialah untuk mengajak rakyat menolak kepimpinan Tun Mahathir.

ICERD hanyalah alasan untuk membakar serta meniup semangat rakyat agar menolak Tun Mahathir, malah kalau boleh, menjatuhkannya terus.

UMNO masih terasa sakitnya kehilangan kuasa, manakala Pas semakin geram kerana tak pernah kesampaian hajatnya untuk memperolehi kuasa, ditambah lagi Tun Mahathir yang dihina dan dicerca dengan pelbagai gelaran sebelum PRU14 lalu, kini sudah pun berjaya menjadi Perdana Menteri akhirnya.

Bersekali dengan puluhan kes mahkamah yang sedang dihadapi oleh Zahid Hamidi dan Najib Razak, kepuasan UMNO yang disokong oleh Pas hanya akan tercapai apabila mereka berjaya mengoncang dan menjatuhkan Tun Mahathir.

Dalam hal ini, UMNO dan Pas jelas tidak boleh bersabar menunggu tempoh PRU15 untuk bersaing kembali dengan Pakatan Harapan merebut kuasa melalui cara yang sah.

Ini kerana PRU15 dianggap terlalu lama untuk ditunggu dan ketika itu Zahid Hamidi dan Najib mungkin sudah berada di dalam penjara atas sabitan berhubung kesalahan yang telah mereka lakukan.

Hanya dengan Tun Mahathir berjaya disingkirkan di mana barangkali selepas itu sebuah kerajaan campuran yang baru akan dibentuk atau setidak-tidaknya hadir seorang Perdana Menteri baru yang boleh dilembutkan hatinya, maka barulah dilihat ada kemungkinan kes-kes mahkamah yang dihadapi itu boleh digugurka atau kesalahan diampunkan.

Sebab itu, kerajaan perlu segera bertindak tegas dalam hal ini. Jangan biarkan sentimen kaum dan agama terus dimain dan dibakar oleh UMNO dan Pas yang tidak sukar difahami ada agenda lain di sebalik ICERD yang sedang mereka mainkan.

Percayalah, jika perhimpunan 8 Disember nanti tidak pantas ditangani dengan tegas oleh kerajaan, UMNO dan Pas akan terus bermaharajalela memainkan sentimen kaum dan agama untuk kepentingan politik bagi mencapai agenda besar mereka iaitu menolak Tun Mahathir.

Apabila sekali ia sudah dibiarkan bermula, mungkin sudah terlewat untuk menghentikannya.

*Shahbudin Husin adalah penulis buku kritik politik terkenal. Artikel pertama kali disiar di blognya adalah pendapat peribadi beliau yang tidak semestinya mewakili pendirian Malaysian Update.

No comments

Loading...