Header Ads

Belanjawan 2019: Sektor kerajaan catat RM51.9 bilion defisit keseluruhan pada 2018


KUALA LUMPUR - Sektor kerajaan dianggarkan mencatat defisit keseluruhan lebih tinggi sebanyak RM51.9 bilion iaitu 3.6 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2018 setelah mengambil kira semua pindahan dan pinjaman bersih di antara setiap unit kerajaan am.

Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2019 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan hari ini, di bawah peruntukan undang-undang, unit selain kerajaan Persekutuan hanya boleh meminjam daripada atau dengan kelulusan kerajaan Persekutuan.

Loading...

"Pendedahan terhadap risiko kredit kerajaan am terkawal di peringkat kerajaan Persekutuan. Justeru, defisit akan dibiayai melalui rizab terkumpul dan pinjaman kerajaan Persekutuan," menurut laporan itu.

Hasil disatukan bagi syarikat awam bukan kewangan (SABK) pada 2018 dianggarkan mencatat sedikit kenaikan iaitu 1.9 peratus kepada RM376 bilion.

"Pertumbuhan itu disumbangkan terutamanya oleh sektor utiliti dan telekomunikasi berikutan permintaan utiliti yang lebih tinggi dan asas pelanggan yang lebih luas," kata laporan tersebut.

Sementara itu, hasil disatukan bagi kerajaan negeri pada 2018 diunjur RM20.6 bilion terdiri daripada RM16 bilion atau 77.7 peratus hasil janaan negeri manakala selebihnya pemberian daripada kerajaan Persekutuan.

Jumlah perbelanjaan disatukan bagi kerajaan negeri dijangka meningkat 21.3 peratus kepada RM23.5 bilion, manakala perbelanjaan mengurus dijangka bertambah 16.3 peratus kepada RM11.4 bilion terutamanya disebabkan emolumen serta perkhidmatan dan bekalan yang lebih tinggi.

Kedudukan kewangan disatukan bagi sektor awam yang bertujuan menggangarkan saiz sektor itu, kesan ke atas ekonomi secara makro dan mengenal pasti sumber risiko fiskal, dijangka mencatat lebihan semasa yang lebih rendah.

"Lebihan semasa lebih rendah iaitu RM68.6 bilion, disebabkan unjuran perbelanjaan mengurus kerajaan Persekutuan yang lebih tinggi dan anggaran lebihan semasa SABK yang rendah," kata laporan tersebut. - Bernama

No comments

Loading...