Header Ads

Bandar Ayodhya di India tegang


AYODHYA, India – Berpuluh-puluh ribu sami dan aktivis kumpulan nasionalis Hindu mula berhimpun di bandar Ayodhya, negeri Uttar Pradesh semalam untuk menuntut sebuah kuil dibina di atas tapak keagamaan yang menjadi perebutan.

Lebih 200,000 orang dijangka berkumpul berhampiran tapak tersebut di mana perusuh-perusuh Hindu merobohkan sebuah masjid abad ke-16 pada tahun 1992. Insiden itu mencetuskan rusuhan agama yang meragut kira-kira 2,000 nyawa sekali gus antara keganasan terburuk di India sejak perpecahan negara itu pada tahun 1947.


Loading...
Jurucakap polis Uttar Pradesh, Vivek Tripathi berkata, lebih 900 anggota polis tambahan dan sejumlah besar anggota separa tentera termasuk unit komando kini ditempatkan di Ayodhya.

“Kami mengawasi keseluruhan bandar itu melalui sistem televisyen litar tertutup (CCTV) dan ka­mera dron,” katanya.

Menjelang pilihan raya umum India yang dijadualkan berlangsung pada Mei 2019, Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi dan kumpulan-kumpulan Hindu pro-BJP telah meningkatkan tuntutan mereka supaya sebuah kuil baharu dibina di tapak masjid tersebut.

Kebanyakan penganut Hindu percaya tapak itu merupakan tempat kelahiran dewa perang mereka.

Kumpulan-kumpulan Hindu memberikan alasan sebuah kuil telah terbina di tapak tersebut sebelum seorang pemerintah Islam membina Masjid Babri pada tahun 1528.

“Adalah memalukan kerana kami gagal membina kuil di tapak antara yang paling suci kepada penganut Hindu ini,” kata jurucakap pertubuhan Hindu, Vishwa Hindu Parishad, Sharad Sharma.

Aktivis-aktivis Hindu yang berhimpun semalam akan menggesa kerajaan supaya memperkenalkan rang undang-undang bagi memberi laluan kepada pembinaan kuil Hindu di tapak Masjid Babri.

Kedua-dua kumpulan Islam dan Hindu telah mengemukakan petisyen kepada Mahkamah Agung India bagi menyelesaikan isu tersebut. Mahkamah tertinggi itu bagaimanapun menyatakan bahawa ia memerlukan lebih banyak masa untuk membuat keputusan. – Reuters

No comments

Loading...