Header Ads

Azmin belum menang tapi dahului Rafizi - pengerusi JPP

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kanan) dan Rafizi Ramli di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, 21 September 2018. — Foto oleh Yusof Mat Isa

KUALA LUMPUR  — "Belum menang, tetapi mendahului," itu respons Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR, Datuk Rashid Din mengenai tindakan mengumumkan kemenangan oleh kem Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam saingan merebut jawatan Timbalan Presiden parti itu.

Rashid yang dihubungi Bernama berkata proses pengiraan undi bagi pemilihan itu masih belum selesai kerana masih terdapat beribu-ribu undi ragu belum diproses dan keputusan di tiga cabang yang masih ditangguh iaitu Tawau, Pensiangan serta Julau.


Loading...

"Dia memang 'leading', jadi perkataan 'menang'  itu perlu ditukar kepada 'mendahului', proses (kira undi) masih belum selesai, banyak lagi kerja kita (JPP), keputusan muktamad hanya selepas semua undi ragu dibuka (proses)," katanya.

Rashid bagaimanapun tidak memberi perincian mengenai jumlah undi ragu tersebut.

Menurut laman https://www.pemilihankeadilan2018.com setakat ini hanya enam negeri yang telah mempunyai keputusan muktamad iaitu Pulau Pinang, Johor, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Wilayah Persekutuan.

Dilaporkan kem Mohamed Azmin mengumumkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu telah menewaskan bekas Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan memenangi saingan dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti kali ini.

Menurut keputusan akhir tidak rasmi yang dimuat naik dalam akaun Twitter ‘Pemilihan Keadilan 2018’, Mohamed Azmin setakat ini memperoleh 70,550 undi mengatasi Rafizi yang mendapat 66,594 undi.

Sementara itu Rashid berkata proses kiraan semua undi ragu dan keputusan beberapa cabang yang masih tergantung akan diselesaikan menjelang Kongres Nasional PKR 2018 yang akan berlangsung 16 hingga 18 Nov ini. — Bernama

No comments