Header Ads

Anggota bomba di belakang jentera bukan Muhammad Adib, kata Rakan

Mohd Hazim menunjukkan gambar yang tular di media sosial yang didakwa sebagai Muhammad Adib ketika sidang akhbar di Institut Jantung Negara hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Anggota bomba yang didakwa dilanggar jentera bomba di lokasi insiden kekecohan Kuil Sri Maha Mariamman berdasar rakaman video yang viral, bukannya Muhammad Adib Mohd Kassim sebaliknya ia adalah rakan setugasnya.

Perkara itu disahkan sendiri oleh rakannya, Mohd. Hazim Mohd Rahimi, 31, yang mengakui beliau adalah individu yang berada di belakang jentera berkenaan pada waktu kejadian.


Loading...
"Saya keluar dari jentera dan ingin mengambil peralatan sebelum ternampak sekumpulan perusuh datang dan saya terus lari ke belakang masuk ke dalam EMRS (Perkhidmatan Respons Perubatan Kecemasan).

"Lepas masuk dalam EMRS, saya tutup pintu dan tidak tahu apa keadaan di luar, memang pada masa itu keadaan kelam kabut dan saya pun panik," katanya kepada pemberita ketika menceritakan detik-detik cemas ketika kekecohan itu berlaku.

Beliau berkata, tindakan melarikan diri ke dalam EMRS mengakibatkan beliau dianggap sebagai Muhammad Adib kerana pada mulanya anggota bomba yang cedera parah itu menaiki kenderaan berkenaan.

"Saya masuk ke dalam EMRS dan dianggap sebagai Adib...sebelum anggota lain sedar Adib tidak ada bersama kami selepas itu," katanya yang enggan mengulas lanjut kerana bimbang mengganggu siasatan polis.

Badan Bertindak Selamatkan Kuil Sri Maha Mariamman hari ini mendakwa kecederaan dialami anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dalam insiden kekecohan di kuil itu awal pagi semalam adalah akibat tersepit dan bukannya dipukul.

Pengerusinya, S. Ramaji dilaporkan berkata, beliau mempunyai bukti yang menunjukkan orang ramai ketika itu membantu mengeluarkan mangsa Muhammad Adib Mohd Kassim yang tersepit.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menegaskan dakwaan bahawa Muhammad Adib dilanggar  sebagai tidak berasas.

"Saya nak tegaskan jangan buat kenyataan tidak berasas dan tidak betul, kami (bomba) memberikan kerjasama yang sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat perkara ini," katanya pada sidang akhbar di Institut Jantung Negara (IJN) di sini hari ini. - Bernama

No comments

Loading...