Header Ads

1MDB: Parlimen tak terlibat siasatan PAC



KUALA LUMPUR - Parlimen tidak akan campur tangan dalam siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung dakwaan laporan Ketua Audit Negara mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah dipinda, kata Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof. 
          
Katanya PAC mempunyai kuasa penuh dalam siasatan mereka dan sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat, beliau tidak campur tangan. 

Loading...


“Jika saya terlibat, ia akan terjejas,” katanya selepas perasmian perundingan Meja Bulat mengenai Pembaikan Pilihan Raya: Ke Arah Pilihan Raya Bebas dan Adil, di bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai cadangan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang untuk merujuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen kerana mengarahkan pindaan ke atas laporan Ketua Audit mengenai 1MDB.

Perkara itu sebelum ini didedahkan oleh bekas Timbalan Pengerusi PAC Wong Kah Woh yang mendakwa pindaan ke atas laporan akhir tersebut dibuat oleh individu tertentu.

Pada Ahad, Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad mengeluarkan kenyataan mendakwa Najib serta beberapa pegawai tertinggi kerajaan termasuk bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang telah meminda dokumen itu.

Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan oleh bekas Pengeruis PAC Datuk Seri Hasan Ariffin dan Ambrin.

Terdahulu berucap pada perasmian perundingan meja bulat berkenaan, Mohamad Arif berkata matlamat akhir pembaikan pilihan raya bukan sekadar pilihan raya bersih, bebas dan adil tetapi juga mesti menampilkan demokrasi pelbagai parti.

“Tidak memadai kalau kita sekadar percaya pada demokrasi. Kita mesti pastikan demokrasi berjaya,” katanya.


Perundingan meja bulat itu diadakan selama dua hari sehingga esok bagi membincangkan sistem pilihan raya termasuk persempadanan semula kawasan, hak mengundi dan pengurusan pilihan raya.

Mereka yang hadir pada perundingan itu ialah Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Azhar Azizan Harun, Pengerusi Jawatankuasa Pembaikan Pilihan Raya Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, Pengerusi Bersih 2.0 Thomas Fann, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya United Kingdom Sir John Holmes dan Presiden Yayasan Kofi Annan Alan Doss. - Bernama

-sinar harian

No comments

Loading...