Header Ads

Zeti simpan rapi surat tulisan tangan Siti Hasmah


PUTRAJAYA - Bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz hari ini berkongsi rahsia beliau yang amat menghargai sepucuk surat daripada Tun Dr. Siti  Hasmah Mohd. Ali  kepadanya pada 1998, yang menjadi dorongan dan sumber inspirasi baginya hingga kini.

Kata Zeti, beliau masih menyimpan surat tulisan tangan Dr. Siti Hasmah itu yang dihantar kepadanya apabila beliau dilantik menjadi Gabenor Bank Negara Malaysia pada 1998.


Loading...
"Saya terima banyak surat dari seluruh dunia dan seluruh negara, tetapi surat yang paling saya hargai ialah surat tulisan tangan beliau sepanjang lebih dua muka surat, yang penuh dengan kata-kata untuk memberi dorongan," katanya ketika melancarkan Kasih Malaysia, di Seri Perdana di sini, hari ini.

Isteri Perdana Menteri, Dr. Siti Hasmah adalah Pengerusi Kasih Malaysia, sebuah badan dianggotai isteri para pemimpin Pakatan Harapan.

Dalam ucapannya, Zeti mengimbas kembali pertemuan beliau dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1978 ketika beliau sedang menuntut di University of Pennsylvania, Amerika Syarikat dan Mahathir pula menyandang jawatan Timbalan Perdana menteri ketika itu.

"Di University of Pennsylvania, saya hanya bergantung pada pinjaman Mara, yang tentu sekali telah saya bayarnya kembali. Ketika sedang menyiapkan disertasi saya, pada suatu pagi, saya menerima panggilan telefon daripada Biro Siasatan Persekutuan yang memaklumkan bahawa Timbalan Perdana Menteri Malaysia ingin bertemu berapa pelajar Malaysia, tetapi hanya saya yang dapat mereka hubungi," katanya.

Menurut Zeti, walaupun beliau tidak pasti sama ada panggilan itu benar-benar daripada pihak berkenaan, beliau membuat keputusan untuk bertemu Mahathir dan semasa pertemuan itu, beliau memberitahu Mahathir bahawa beliau mengikuti pengajian tentang aliran modal.

"Dr. Mahathir memberitahu saya bahawa negara kita memang memerlukan orang yang mempunyai pengetahuan dalam bidang itu. Cepatlah siapkan disertasi kamu dan pulanglah untuk mencurahkan khidmat bakti kepada Malaysia," katanya.

Zeti berkata, 20 tahun selepas itu, pada 1998, ketika Asia menghadapi krisis kewangan paling parah, Mahathir melantik beliau menjadi Gabenor Bank Negara Malaysia.

"Dan 20 tahun kemudiannya, dua hari selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum, saya menerima panggilan untuk menganggotai Majlis Penasihat Kerajaan.

"Saya percaya ini sudah ditakdirkan, tetapi saya rasa sungguh bertuah dan akan berkhidmat untuk negara dengan penuh iltizam," katanya. - Bernama

No comments

Loading...