Header Ads

Umno mahu tuntut semula aset dari pemegang amanah


Umno akan mengambil semula semua asetnya yang dipegang oleh penama.

Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau telah mengarahkan Bendahari Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk mendapatkan semula aset terbabit demi menjaga kepentingan dan kelangsungan parti.

"Saya dapati ada dalam kalangan penama ini yang presiden dahulu telah letakkan kepercayaan kepadanya bagi pihak Umno, apabila ditemui menyatakan bahawa saham atau aset itu mereka punya.

Loading...

"Umno akan mengambil tindakan undang-undang untuk memperoleh balik aset itu.

"Trustee (pemegang amanah) ini sepatutnya memegang amanah. Kita tidak mahu orang yang tidak amanah memegang amanah bagi pihak kita," katanya dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno 2018 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur hari ini.

Katanya aset yang diambil balik itu akan dibawa ke jawatankuasa pengurusan serta dibentangkan kepada Majlis Tertinggi secara telus.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata aset berkenaan tidak mencecah nilai bilion ringgit seperti yang didakwa sesetengah pihak.

"Apabila saya melihat aset dan liabiliti daripada laporan yang diberikan rakan-rakan kita yang menjadi CEO kepada syarikat-syarikat dan pemegang saham bagi pihak Umno ini, kita lihat harta kita tidak sebanyak itu," katanya.

Pada sidang media selepas itu, Ahmad Zahid berkata Umno sedang mengesan beberapa lagi dokumen berkaitan aset itu.

“Kita sedang mencari dokumen-dokumen. Ada dokumen yang telah berada dalam tangan kita,” katanya. - Bernama

No comments

Loading...