Header Ads

Tindakan SPRM terhadap Rosmah mengikut undang-undang, kata Tun M


PUTRAJAYA - Penahanan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam adalah mengikut lunas undang-undang dan tidak mempunyai kaitan dengan balas dendam.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, tiada mana-mana individu yang terkecuali daripada dikenakan tindakan sekiranya berlakunya pelanggaran undang-undang, lapor Utusan Online.


Loading...
"Ini tiada langsung kaitan dengan balas dendam, undang-undang menyatakan sekiranya anda mengambil atau mencuri duit, anda akan didakwa di mahkamah.

"Sama ada mahkamah bersetuju atau tidak, itu adalah perkara yang berasingan," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pengurusan Bencana ke-6 di sini hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan pemberita mengenai luahan anak Rosmah, Nooryana Najwa Najib yang menyifatkan penahanan Rosmah oleh SPRM sebagai terlalu melampau.

Dalam pada itu, berhubung tindakan polis menahan adik kepada Presiden Pemantau Malaysia Baharu (PMB) Datuk Lokman Noor Adam di bawah Akta Hasutan baru-baru ini kerana menghina pemimpin negara dalam media sosial, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak bersetuju dengan tindakan tersebut.

"Itu tidak sepatutnya berlalu, saya tidak kisah dihina oleh sesiapa pun, ia tidak menjejaskan saya, terdapat satu kes di Pulau Pinang, saya minta tiada tindakan seperti itu dikenakan.

"Seorang ahli politik mesti menerima hakikat akan dikritik dan diberikan gelaran, saya telah dipanggil sebagai bermacam-macam, saya tidak pernah pun mengambil tindakan, walaupun semasa saya Perdana Menteri sebelum ini," katanya.

No comments

Loading...