Header Ads

Tiada orang politik dalam senarai pingat Hari Wilayah tahun depan - Khalid Samad

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad - Foto Kosmo!

KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah berpendirian tidak akan mengesyorkan sebarang nama mereka yang terlibat dalam politik bagi penganugerahan darjah kebesaran dan pingat sempena sambutan Hari Wilayah pada tahun hadapan.

Menterinya, Khalid Abd Samad berkata, pemberian anugerah itu akan diberikan kepada mereka yang benar-benar berkhidmat kepada masyarakat.

"Insya Allah, pemberian darjah kebesaran dan pingat itu akan diadakan pada tahun depan.

Loading...

"Tetapi saya nak pengiktirafan ini diberi kepada golongan pendidik, para sukarelawan yang terlibat dalam isu kemanusiaan serta mereka yang mengharumkan nama di peringkat antarabangsa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan  'World Energy Cities Partnership' (WECP) di sini hari ini. 

Hadir sama, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Presiden WECP merangkap Datuk Bandar Halifax, Kanada, Mike Savage.

Menurut Khalid, pimpinan politik masih banyak masa untuk membuktikan keseriusan mereka berkhidmat kepada masyarakat sebelum dipilih menerima sebarang darjah kebesaran tersebut. 

"Kita lihat dulu perkhidmatan dan pretasi mereka (ahli politik). Itupun kalau ada yang nak cadangkan, kita serahkan kepada pihak yang menawarkan," katanya. 

Beliau yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) turut menjelaskan, tiada paksaan untuk mana-mana anggota parti itu menerima atau menolak sebarang darjah kebesaran dan pingat yang ditawarkan.

"Kita hanya mengingatkan bahawa anggota tidak boleh meminta untuk mendapatkan pingat-pingat ini tetapi sekiranya ditawarkan, kita serahkan kepada diri empunya untuk menerima atau menolak. 

"Bagi kita, ia tidak menjadi satu isu kerana mereka ditawarkan, bukan melobi atau membeli darjah kebesaran dan pingat tersebut," katanya.

Ini berikutan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng baru-baru ini membuat teguran secara terbuka kepada beberapa pemimpin parti itu yang menerima darjah, bintang dan pingat kebesaran daripada Melaka serta Sabah.

Lim yang juga Menteri Kewangan menganggap tindakan pemimpin berkenaan tidak mencerminkan semangat perjuangan sebenar parti itu, sekali gus memberikan persepsi lain kepada rakyat kerana parti itu tidak sampai setahun menjadi kerajaan.

Jelas Khalid, anggota parti Amanah boleh menerima anugerah sekiranya kurniaan tersebut boleh membantu imej parti atau pekerjaan mereka.

"Mengenai aspek tempoh perkhidmatan, pihak yang menawarkan pasti sudah mengambil kira hal ini.

"Mungkin individu yang ditawar itu baru menjadi menteri tetapi sudah lama berkhidmat. Jadi tak salah untuk diberi pengiktirafan," katanya. - Bernama

No comments

Loading...