Header Ads

Tarif elektrik tidak naik walau kerap diusulkan, kata menteri


KUALA LUMPUR, 20 Okt  — Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata kerajaan tidak akan menaikkan tarif elektrik dalam usahanya memacu agenda kecekapan tenaga.

Sehubungan itu katanya sebarang gesaan melibatkan kenaikan tarif atas alasan mendorong rakyat mengurangkan penggunaan elektrik  tidak akan diterima.

“Setiap kali saya berjumpa pemain industri tenaga, mereka akan mengusulkan kenaikan tarif  atau laksanakan kos reflektif (kadar berdasarkan kos sebenar) tetapi ada masanya anda harus lihat dari perspektif kerajaan yang sedar ramai yang tidak mampu menanggung kos hidup.

Loading...

“Justeru, cadangan itu tidak begitu berkesan kerana walaupun mungkin ada sesetengah yang menerima manfaat, pada masa sama cara tersebut menyusahkan lebih ramai lagi golongan berpendapatan rendah.

“Saya tidak kata tidak akan ada kenaikan kerana keadaan bergantung pada harga minyak dunia dan kita sememangnya sangat bergantung pada bahan api fosil ini, namun kita tidak akan menyusahkan rakyat hanya kerana mahu memacu agenda hijau,” katanya pada sesi town hall mengenai kecekapan tenaga, di sini hari ini.

Pada sidang media kemudian, Yeo yang ditanya sama ada kerajaan akan memperkenalkan cukai karbon bagi mengawal pelepasan karbon, berkata perkara itu tiada dalam perancangan kementerian.

“ sebenarnya ada banyak lagi yang boleh kita lakukan berhubung perubahan iklim seperti menukar campuran (bahan api) penjanaan elektrik kepada tenaga boleh diperbaharui bagi membolehkan kita mengurangkan keamatan karbon sebanyak 49 peratus menjelang 2030.” katanya.

Pada acara itu Yeo turut melancarkan Pelabelan Keamatan Tenaga Bangunan Kebangsaan bagi Bangunan Kerajaan, satu program yang bertujuan mengoptimumkan tahap penggunaan tenaga  bangunan kerajaan di negara ini dan mengurangkan bil utiliti kerajaan.

“Label ini yang dilekatkan pada bangunan, menerangkan serta berkonsi maklumat tentang penggunaan  tenaga bangunan dan label ini mengandungi penarafan bintang dengan satu bintang sebagai paling tidak cekap dan lima bintang paling cekap,” katanya.

Beliau berkata program akan dilaksana secara berperingkat melibatkan beberapa fasa dengan fasa pertama dijadualkan penghujung tahun ini membabitkan 50 bangunan pelbagai kementerian. — Bernama

No comments

Loading...