Header Ads

SPRM panggil Najib, Irwan; Khamis ini ke mahkamah


KUALA LUMPUR, 23 Okt — Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan bekas ketua setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Irwan Siregar Abdullah diminta hadir untuk memberi keterangan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, esok.

Menurut sumber SPRM, kedua-duanya diminta berbuat demikian pada 2 petang berhubung kes pembayaran hutang dana pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada International Petroleum Investment Co. (Ipic).


Loading...
Sebelum ini, Najib telah beberapa kali dipanggil untuk memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan SPRM.

Sebelum ini, Najib telah didakwa di mahkamah atas 32 pertuduhan.

Pada 4 Julai lepas, beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Pada 8 Ogos lepas, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada aktiviti haram milik dana SRC International Sdn Bhd, dalam dua akaun miliknya, empat tahun lepas.

Pada 20 September pula, Najib didakwa atas 21 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001(AMLATFA) dan empat pertuduhan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM.

Sementara itu, menurut sumber SPRM, Najib dan Irwan Siregar dijangka dituduh pada Khamis, berhubung kes Ipic.

“Kedua-dua mereka akan dituduh pada Khamis,” katanya ringkas kepada Bernama dan enggan mengulas lanjut perkara itu. — Bernama

No comments

Loading...