Header Ads

'Soi Lek pasti tahu wang yang diterima adalah dari 1MDB', kata Kit Siang


NILAI: Veteran DAP Lim Kit Siang menegaskan bahawa tidak mungkin bekas pemimpin MCA Chua Soi Lek tidak mengetahui wang yang diterima pada 2013 adalah sumber 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, isu 1MDB sudah timbul pada tahun 2013 dan mempersoalkan mengapa Soi Lek tidak bertanya sumber kewangan yang diterima itu, lapor Astro Awani.

“1MDB adalah isu besar, kenapa tidak bertanya sumber kewangan ketika menerima wang itu?

Loading...

“Jika benar, semua parti politik yang menerima wang 1MDB perlu bayar balik kepada kerajaan,” kata Kit Siang kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Kebangsaan Visi Islam dalam Aspirasi Malaysia Baharu di Nilai, pada Sabtu.

Sebelum ini Soi Lek yang merupakan bekas presiden MCA mengakui pernah menerima dana pilihanraya daripada bekas pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak.

Namun Soi Lek berkata dia tidak mengetahui dan bersangka baik mengenai sumber kewangan yang diterima oleh Najib adalah daripada 1MDB.

Kit Siang kini mendesak semua parti yang menerima dana daripada 1MDB pada 2013 perlu memulangkan semula wang itu kepada bendahari kerajaan.

Berdasarkan siasatan, Najib dilaporkan telah mengagihkan sejumlah RM470 juta kepada parti komponen BN untuk berdepan PRU 2013 ketika menjadi pengerusi BN dahulu, di mana RM16.5 juta daripada jumlah berkenaan diberikan kepada MCA.

Najib kini berdepan sejumlah pertuduhan di mahkamah berhubung penyelewengan dana daripada 1MDB.

No comments

Loading...