Header Ads

Sila siasat tuduhan pembunuhan kaitkan saya, kata Najib

Najib Razak

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mengalu-alukan gesaan supaya kes pembunuhan berprofil tinggi Altantuya Shaariibuu, Kevin Morais dan Hussain Najadi dibuka kembali dan suatu pasukan siasatan khas dibentuk.

"Sudah melangkaui sepuluh tahun, saya dituduh oleh Pakatan dan pakar propaganda mereka bahawa saya terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya, Kevin Morais dan Hussain Najadi.

"Oleh itu, sudah tiba masa untuk keadilan diberikan kepada saya. keluarga mangsa dan memberi ruang kepada semua rakyat Malaysia yang pernah menuduh dan memfitnah saya, menginsafi apa yang mereka lemparkan selama ini," kata bekas presiden Umno itu pada hantaran di Facebook hari ini.

Loading...

Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan menjawab gesaan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang menyatakan misteri tiga kes tersebut serta kematian bekas pembantu ADUN DAP Teoh Beng Hock akan terus menjejaskan reputasi Malaysia.

Najib turut meminta Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyokong gesaan berkenaan.

Mengenai pembunuhan pengasas AmBank Hussain Najadi, Najib berkata Lim merupakan antara pihak yang cuba membabitkan dirinya dalam kes itu.

'Kit Siang kaitkan pembunuhan dengan skandal 1MDB'

Pada 2015, Lim menuntut agar kes itu dibuka semula untuk memastikan jika terdapat sebarang perkaitan antara pembunuhan itu dan skandal 1MDB yang membabitkan Najib.

"Mendiang Hussain Najadi dibunuh oleh pembunuh upahan pada bulan Julai 2013. Selama tempoh dua tahun, tidak ada seorang pun yang menuduh saya.

"Tetapi pada bulan Julai 2015, iaitu selepas isu RM2.6 bilion itu mula tersebar, Kit Siang, anak mangsa Pascal Najadi dan Sarawak Report mula menanam jarum fitnah dengan melibatkan nama saya dalam pembunuhan Hussain hanya kerana dia ialah pengasas Ambank dan mendiang kononnya dibunuh kerana bakal membongkar tentang kemasukan wang RM2.6b itu," katanya dalam hantaran media sosial itu.

Desas-desus jika pembunuhan Hussain berkait dengan skandal 1MDB tercetus selepas pendedahan yang mendakwa AS$700 juta (pada waktu itu nilai tukaran RM2.6 bilion) telah dimasukkan ke akaun peribadi perdana menteri ketika itu, Najib Razak.

Ketua polis negara semasa itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan sebarang perkaitan antara pembunuhan tersebut dengan kes 1MDB.

Tidak tahu mengapa dibunuh

Najib juga menjelaskan Hussain telah menjual sahammnya di Ambank pada 1982 dan mempersoalkan kenapa kesemua pegawai Ambank dan Bank Negara yang didakwa tahu mengenai deposit RM2.6 bilion itu masih lagi hidup.

"Untuk makluman semua, mendiang Hussain Najadi telah menjual semua sahamnya dalam Ambank pada tahun 1982 dan tidak lagi mempunyai sebarang kaitan dengan bank itu selama 31 tahun sehingga mendiang dibunuh dengan kejam.

"Saya tidak tahu mengapa Hussain dibunuh kerana kononnya tahu tentang isu RM2.6 bilion. Agak pelik kerana kesemua pegawai-pegawai Ambank dan BNM yang juga tahu tentang kemasukan wang ini semua masih hidup lagi?

Bekas perdana menteri juga mengalu-alukan siasatan terhadap kes pembunuhan itu.

"Semua kertas siasatan dan kuasa agensi-agensi siasatan untuk ketiga-tiga kes pembunuhan ini ada pada tangan kerajaan HARAPAN.

"Tiada sebab mereka tidak mengambil langkah itu tanpa lengah dan dengan segera melainkan mereka masih ada rancangan untuk menggunakan isu ini pada masa depan untuk terus memfitnah saya.

"Perlu diingati bahawa angkara fitnah itu lebih besar dosanya daripada pembunuhan. Oleh itu, saya mahu semua tuduhan-tuduhan pembunuhan terhadap saya disiasat dan diputus supaya kita tahu siapa yang benar-benar berdosa," kata Najib. - Malaysiakini

No comments

Loading...