Header Ads

Sesiapa boleh sertai BERSATU kecuali Najib, Zahid, Azeez dan Nazri tak boleh dan tak payah, kata Mukhriz


Ahli Parlimen UMNO dari Parlimen Pekan, Bagan Datuk, Baling dan Padang Rengas adalah antara yang tidak akan dipertimbangkan sama sekali untuk dibenarkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) jika pihak berkenaan mempunyai hasrat untuk menyertai parti itu.

Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, BERSATU kini sudah pun mempunyai 14 wakil dalam parlimen dan Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah pun menyatakan kesediaan untuk menerima sesiapa sahaja yang berminat untuk menyertai parti itu namun perlu memenuhi beberapa syarat tertentu.


Loading...
“Kita tidaklah terlalu terbuka sehingga individu seperti Ahli Parlimen Pekan (Datuk Seri Najib Razak), Bagan Datuk (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi), Baling (Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim) dan Padang Rengas (Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz) nak masuk..itu tak bolehlah dan tak payahlah…kerana mereka ini dalam senarai yang tidak akan kami pertimbangkan (untuk sertai BERSATU).

“Jadi, bagi yang lain-lain (Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) jika berminat untuk menyertai kita adalah amat dialu-alukan dengan syarat mereka harus meninggalkan amalan yang tidak baik dan sihat ketika berada dalam UMNO dan mendukung budaya politik baru mengikut Pakatan Harapan (PH) terutama BERSATU,” katanya.

Memetik portal Berita Harian, Mukhriz berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Jersi kepada Pasukan Bola Sepak Wanita Kedah di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Menurut beliau lagi bagi memastikan BERSATU terus berintegriti dan relevan dalam kalangan masyarakat, parti itu sendiri sering mengadakan saringan terlebih dahulu bagi memastikan individu yang menyertai parti itu bebas daripada sebarang amalan tidak baik yang dibawa daripada parti lama mereka.

“Kita masih kekalkan keterbukaan untuk menerima ahli baru termasuk ahli parlimen dan juga ADUN namun ia masih bersyarat kerana kita juga pun akan meneliti terlebih dahulu individu yang bakal menyertai parti ini menerusi saringan yang dilakukan.

“Seperti juga bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed di mana kita melihatnya seorang teknokrat yang terkenal, berwibawa dan professional di mana saya sendiri pernah berkhidmat sebagai timbalannya (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri)…saya tahu cara kerjanya dan tanpa berfikir panjang, kami menerima permohonannya untuk menerimanya sebagai ahli BERSATU sama seperti ahli yang lain,” katanya.

Dua hari lalu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk A Kadir Jasin berkata, terdapat 40 Ahli Parlimen UMNO kini sedang membuat pertimbangan dengan teliti untuk menyertai BERSATU.

Perkembangan berkenaan berlaku selepas penarikan diri Datuk Seri Mustapa yang juga bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan untuk menjadi Ahli Parlimen dan ADUN Bebas sebelum menyertai BERSATU.

No comments

Loading...