Header Ads

'Serbuan khalwat dihentikan' tak pernah keluar dari mulut saya, kata Mujahid

Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menafikan tajuk laporan yang memetik beliau sebagai berkata bahawa serbuan ke atas premis persendirian yang disyaki menjadi lokasi khalwat atau maksiat akan dihentikan.

Mujahid berkata, tajuk berita yang digunakan akhbar The Star edisi Sabtu lalu "tidak keluar dari mulutnya", lapor Malaysiakini hari ini.

Beliau merujuk laporan The Star bertajuk "No more night khalwat raids or intrusion into Muslims' private lives says Mujahid"("Tiada lagi tangkapan khalwat malam atau pencerobohan ke atas kehidupan peribadi orang Islam, kata Mujahid”).


Loading...
"Saya tak pernah menyebut isu kononnya (serbuan) dihentikan pada waktu malam, tidak diketuk pintu, itu semua adalah tambahan daripada editor yang mengambil rumusan mereka (daripada kenyataan saya).

"Sila rujuk kepada wawancara di dalamnya (laporan itu) yang lebih tepat kepada maksud yang saya ingin sampaikan," katanya kepada stesen TV Al-Hijrah.

Mujahid berkata demikian sebagai mengulas kritikan terhadapnya susulan laporan berita yang memetik beliau berkata bahawa pihak berkuasa agama tidak lagi akan menahan orang Islam yang berkhalwat.

Respons Mujahid berhubung isu itu dikongsi melalui rakaman laporan Al-Hijrah yang dimuat naik di Facebook rasminya semalam.

"Kenyataan saya dalam temu bual di The Star itu, apa yang disebut dalam kepala tajuk itu, tidak keluar dari mulut saya.

"Saya hanya bercakap tentang isu kesalahan atau apa yang dikatakan ruang awam dan ruang peribadi. Saya sorot tentang salah guna kuasa dan pencerobohan di ruang peribadi yang tidak menggambarkan cara dan kaedah Islam," katanya.

Susulan laporan The Star itu, beberapa pihak tampil membidas Mujahid dengan mendakwa beliau sebagai "menyebarkan maksiat".

Sementara itu, NGO agama Nadwah Ulama Nahdhah Jadidah (NUNJI) hari ini tampil mempertahankan Mujahid.

Dalam kenyataan medianya, yang turut dikongsi di Facebook Mujahid, NUNJI berkata beberapa frasa yang digunakan The Star dalam laporan berkenaan yang telah "menimbulkan fitnah dan salah faham masyarakat" hanyalah ayat-ayat yang ditafsirkan dan disimpulkan sendiri oleh pemberita yang mewawancara Mujahid.

"Menteri tidak menyatakan operasi mencegah maksiat harus dihentikan, sebaliknya beliau menegaskan tentang perbezaan ruang individu dan ruang awam dari segi tindakan sebagai kerajaan.

"Menteri juga menjelaskan persoalan wartawan sama ada di masa akan datang pencegah maksiat akan memecahkan pintu dan menangkap orang yang melakukan maksiat.

"Jawapan menteri bahawa beliau akan menasihati pihak berkuasa agensi di bawah pentadbirannya agar lebih ramah dan berhikmah dengan tidak menceroboh ruang-ruang peribadi," kata kenyataan media itu yang ditandatangani 'Gabungan Ilmuan NUNJI'.

NUNJI juga berkata semua pihak agar bertenang dan sabar apabila menerima sesuatu berita sehingga Disahkan kebenarannya.

"Sikap gelojoh ingin membuat ulasan dan menularkan ulasan-ulasan itu secepat mungkin bukanlah perkara yang baik, bahkan akan menjerumuskan kita ke lembah dosa-dosa besar kerana menzalimi pihak lain, memalukan diri sendiri dan menjatuhkan maruah kita akhirnya," katanya.

No comments

Loading...