Header Ads

Saya tidak akan berdiam diri jika ada pihak khianati Anwar - Abdullah Sani

Abdullah Sani - Foto TMI

KUALA LUMPUR: Calon Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Abdullah Sani Abd Hamid berkata beliau akan terus bersuara, termasuk menegur jika ada sebarang konspirasi terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Abdullah berkata beliau tidak akan berdiam diri sekiranya ada pihak yang cuba mengkhianati Anwar.

“Saya dilahirkan dalam gerakan pekerja. Saya dilahirkan dalam keadaan berdepan dengan kemungkaran. Tidak kisah siapa mereka, walaupun mereka yang saya sayangi.

Loading...


“Walaupun saya sering dianggap orang yang agresif tetapi percayalah agresif saya ini adalah untuk rakyat dan untuk tegak kebenaran,” katanya ketika ditemui di Pusat Komuniti Eco Park Pantai Dalam di sini, hari ini, lapor Free Malaysia Today.

Abdullah berkata sokongan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dan Tun Daim Zainuddin kepada Anwar dalam kempen pilihan raya kecil Port Dickson yang sedang berjalan merupakan perkembangan positif, tetapi menyerahkan isu keikhlasan mereka kepada Allah.

Bagaimanapun beliau berkata keikhlasan Dr Mahathir dalam memberi sokongan kepada Anwar boleh dilihat.

“Dalam keadaan Anwar diserang kiri, kanan, depan, belakang sekarang, terutama sekali daripada PAS yang cuba mempertikaikan Perkara 42 perlembagaan persekutuan berhubung pengampunanyang diberikan kepada bekas timbalan perdana menteri itu,” katanya.

Dr Mahathir sebelum ini dilaporkan akan turut berkempen di Port Dickson bagi memberi sokongan kepada Anwar.

Semalam, Daim membuat kejutan apabila hadir ke situ dan berkempen bersama-sama pemimpin PKR itu.

Beliau yang juga bekas menteri kewangan menyertai Anwar pada majlis minum petang bersama komuniti nelayan di Kampung Telok Kemang di sini yang turut menyaksikan kehadiran Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ketika berucap pada majlis itu, Daim menggesa pengundi tempatan memberikan sokongan kepada Anwar kerana katanya, ketua umum PKR itu akan membantu menyelesaikan masalah di kawasan tersebut.

Dalam pada itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyambut baik sokongan yang diberikan oleh Dr Mahathir dan Daim sempena pilihan raya kecil itu.

Nurul berkata, Anwar memerlukan sokongan daripada semua pihak, selain mengucapkan terima kasih kepada media yang membuat liputan.

“Kita juga berharap pengundi keluar mengundi. Anwar sepatutnya ikut serta dalam pilihan raya umum 9 Mei lepas tetapi sebagai seorang tahanan ia tidak berlaku,” katanya yang ditemui di pusat pemilihan PKR Lembah Pantai, hari ini.

No comments

Loading...