Header Ads

Saya penganggur lawan menteri, patut dah 'masuk kubur', kata Rafizi

MOHAMED AZMIN ALI dan Rafizi Ramli bersaing hebat dalam merebut jawatan Timbalan Presiden PKR. - Foto Utusan Online

Calon Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli beri gambaran jawatan dalam Kabinet bukan penentu kemenangan calon dalam pemilihan parti berkenaan.

Beliau berkata itu hanya sekadar tanggapan biasa kerana adalah agak sukar untuk 'membaca' perasaan sebenar anggota parti yang layak mengundi.

"Saya penganggur melawan menteri kanan (Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali), sepatutnya dah masuk ‘kubur’ lama dah.

Loading...

"Itu tanggapan biasa. Setakat ini dibuktikan tidak benar dalam pengundian (Pemilihan PKR) di enam negeri. Apa-apa tanggapan yang ada mengenai perkara itu, kita kena tunggu keputusan," katanya kepada pemberita selepas meninjau proses Pemilihan PKR Cabang Kapar, di Klang, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai persaingannya dengan Mohamed Azmin di Selangor yang disifatkan sebagai kubu kuat menteri itu.

Media sebelum ini melaporkan, keputusan undi di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Wilayah Persekutuan memihak kepada Rafizi sementara Mohamed Azmin menguasai undi di Pulau Pinang dan Johor.

Dalam pada itu, bekas anggota parlimen Pandan itu berkata kemenangan mana-mana calon pada Pemilihan PKR di sembilan cabang di Selangor hari ini juga cukup untuk memberi 'petanda' perjalanan keputusan di cabang-cabang lain yang akan menjalankan pemilihan dalam tempoh terdekat.

Fasa pertama proses pemilihan PKR peringkat Selangor yang mempunyai keanggotaan paling ramai disahkan layak mengundi iaitu 249,850 orang, berlangsung hari ini di sembilan cabang daripada 22 cabang di negeri ini.

Proses pengundian menggunakan kaedah e-undi itu berlangsung dari 9 pagi sehingga 5 petang.

- Bernama

No comments

Loading...