Header Ads

'Saya dah kata, Umno akan diharamkan' - Khir Toyo


SHAH ALAM - Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo, kesal apabila harapannya mahu Umno bertindak lebih awal sebelum parti itu menjadi pertubuhan haram tidak dilaksanakan.

Lebih malang lagi katanya, selepas mengeluarkan kenyataan Umno akan diharamkan ketika Perhimpunan Agung Umno (PAU) sebelum ini, beliau dihentam mereka yang masih meneruskan sikap membodek pimpinan dengan menyajikan cerita berlebih-lebihan.

Loading...

“Saya pernah tulis Umno akan diharamkan sebelum ini dengan harapan isu ini dibincang dan diperincikan oleh pembahas sekaligus membuat beberapa ketetapan jika berlaku pengharaman Umno.

“Malang sekali peluang itu diguna untuk hentam saya dan mereka masih teruskan sikap bodek pimpinan dengan sajikan cerita ‘indah khabar dari rupa,”katanya menerusi akaun Facebook miliknya, hari ini.


Khir Toyo berkata, beliau yang pernah bekerja di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad berpandangan Perdana Menteri itu berfikiran jauh ke depan.

Katanya, Dr Mahathir dihormati kerana mempunyai dasar jelas dan arahannya mudah difahami dengan adanya pemantauan perlaksanaan yang membolehkan kejayaan sesuatu dasar diketahui.

Menurutnya, untuk menjangkau tindakan Dr Mahathir, Umno perlu bertindak selangkah ke depan daripada apa yang ada dalam fikiran Pengerusi Bersatu itu.

“Sepatutnya Umno laksanakan tindakan lanjut jika Umno benar-benar jadi pertubuhan haram.Tindakan  boleh dibuat ialah dengan menubuhkan parti baharu dengan tujuan dan matlamat sama seperti Umno, sebagai ‘transitioned party’.

“Semua ahli dan aset parti boleh diletakkan di bawah parti ini. Jika kerajaan PH benar-benar mengharamkan Umno, biarlah mereka lakukan, niat jahat mereka tidak akan berjaya untuk lihat ahli Umno berhijrah kepada parti mereka,”katanya.

Khir Toyo berkata, setelah keadaan reda, daya juang ahli dipertingkatkan untuk hidupkan kembali parti itu sekaligus menang pada PRU akan datang.

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan itu tidak boleh diputuskan oleh majlis tertinggi (MT) sahaja, ia memerlukan keputusan perwakilan Umno melalui mesyuarat khas sepatutnya diadakan semasa PAU yang lalu.

“Jika ini dilakukan, ia akan lemahkan semangat PH untuk haramkan Umno kerana ia adalah tindakan politik yang sia-sia malah dari sudut politiknya untungkan Umno
“Kita harus ambil manfaat daripada tindakan kerajaan PH mengheret pemimpin Umno ke mahkamah sebagai kaedah membersihkan parti ini,”katanya.

Menurutnya lagi, beliau difahamkan ramai lagi pemimpin Umno akan didakwa di mahkamah dalam waktu terdekat.

“Apa pun alasannya, PH pasti ada bukti kukuh pastikan tindakan mereka betul, mereka yang didakwa akan dipenjarakan.

“Bagi saya mereka tak boleh lakukan kesilapan dalam pendakwaan kerana mereka tidak mahu rakyat buat kesimpulan apa mereka katakan sebelum ini terhadap pemimpin Umno adalah tuduhan dan fitnah semata.

“Umno mesti berani terima kenyataan ini, mereka didakwa perlu bijak dengan lakukan langkah ‘political setback’, sama ada bercuti atau menubuhkan satu jawatankuasa khas dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan reformasi politik dalam Umno,”katanya. - Sinar Harian

No comments

Loading...