Header Ads

Rosmah dijangka dipanggil SPRM esok, khuatir ditahan


Isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor dijangka dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali lagi esok.

Sumber yang rapat dengan isteri bekas presiden Umno itu berkata, peguam Rosmah, Geethan Ram Vincent menerima panggilan SPRM pukul 6 petang tadi dan memaklumkan Rosmah perlu hadir 11 pagi esok di ibu pejabat suruhanjaya berkenaan.

Sumber itu berkata, ia mungkin kali terakhir Rosmah dipanggil untuk disoal siasat dan terdapat kemungkinan Rosmah ditahan esok.


Loading...
Sekiranya Rosmah ditahan esok, ia bererti beliau mungkin didakwa di mahkamah pada Khamis, hari sama pengurusan kes suaminya, Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sementara itu, sumber SPRM mengesahkan kepada portal Malaysiakini bahawa Rosmah akan hadir di ibu pejabat mereka pada 10 pagi esok.

Sekiranya Rosmah hadir di ibu pejabat SPRM esok, ia merupakan kali ketiga suruhanjaya itu memanggil Rosmah untuk disoal siasat.

Kali terakhir Rosmah disoal siasat sehingga hampir 13 jam.

Sebelum ini, media melaporkan Rosmah mungkin berdepan sehingga 20 pertuduhan.

Selain SPRM, polis turut dijangka menyoal siasat Rosmah berhubung barang kemas yang dirampas dari kediaman yang dikaitkan dengan Najib. - Malaysiakini 

No comments

Loading...