Header Ads

Projek ‘gajah putih’ dibatal, akaun dibersihkan, kata menteri

Menteri Kewangan Lim Guan Eng - Foto: Kosmo

KUALA LUMPUR, 9 Okt  — Kerajaan mahu membersihkan akaun-akaunnya dan menjadikan sektor awam lebih telus dalam aspek kewangan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata buat permulaan, kerajaan komited beralih daripada akaun berasaskan tunai kepada perakaunan tertunggak menjelang 2021.

“Langkah ini akan membabitkan tempoh peralihan lima hingga tujuh tahun, dan akan menanam dispilin fiskal yang perlu dalam kerajaan semasa dan akan datang,” katanya dalam ucapan khas pada ‘Malaysia: A New Dawn 2018 Investor Conference’ di sini hari ini.

Loading...

Lim berkata sebagai sebahagian daripada pembaharuan fiskal kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan fiskalnya dengan lebih sistematik, Jawatankuasa KewanganAwam telah ditubuhkan dengan mandat untuk menyeimbangkan antara komitmen kerajaan terhadap penyatuan fiskal dan keperluannya untuk membuat perbelanjaan dan pelaburan produktif yang berterusan.

Sebagai contoh, beliau berkata projek-projek ‘gajah putih’ seperti projek saluran paip pelbagai produk dan projek saluran paip Trans-Sabah, yang dijangkakan membelanjakan lebih daripada RM10 bilion, telah dibatalkan.

“Banyak projek infrastruktur mega yang diperakui sebagai penting untuk produktiviti dan pertumbuhan ekonomi Malaysia, termasuk projek pengangkutan awam berasaskan kereta api seperti Light Rail Transit 3 dan Mass Rapid Transit 2, diteruskan.

“Bagi projek-projek ini, kami mahu meneruskannya, namun kami komited untuk memastikan tidak ada skop yang tidak perlu dan berlebihan, dan pada masa yang sama memastikan kosnya berpatutan,” katanya.

Sementara itu, Lim berkata dalam mematuhi disiplin fiskal, kerajaan akan membentangkan langkah percukaian baharu pada pembentangan Belanjawan 2019.

“Kami mahu pengoptimuman kos dan usaha untuk meningkatkan pendapatan,” katanya sambil menambah kedudukan fiskal negara memerlukan tiga tahun untuk dipulihkan.

Dalam jangka sederhana, kerajaan akan tetap tegas dalam penyatuan fiskal ketika ia memperbaharu institusi, meningkatkan pendapatan, mengoptimumkan perbelanjaan, serta merasionalkan hutang.

Ekonomi, kata Lim, akan terus berada pada kedudukan pertumbuhan yang mantap, didorong oleh permintaan domestik dan luar, dengan kerajaan mengutamakan dasar untuk memacu pengembangan.

Dalam jangka masa panjang, tumpuan kerajaan adalah untuk memastikan sumber pendapatan yang mencukupi dan stabil bagi pembangunan negara, yang membawa kepada penubuhan Jawatankuasa Pembaharuan Cukai (TRC) untuk melakukan kajian dan pembaharuan sistem cukai secara menyeluruh.

Lim berkata TRC telah diberi mandat untuk meminimumkan jurang cukai, mempelbagaikan hasil cukai dan melaksanakan sistem percukaian yang lebih efisien, neutral dan progresif, di samping meneroka cara untuk mengurangkan kebocoran dan pengelakan cukai.

“Jawatankuasa yang sama akan mengkaji semua insentif cukai yang diberikan sebelum ini untuk memastikan langkah-langkah ini masih relevan dalam menyokong pertumbuhan ekonomi yang berkualiti tinggi,” katanya. — Bernama

No comments

Loading...