Header Ads

Polis perlu lakukan ujian DNA untuk pastikan mayat adalah Amir Hamzah

DNA daripada ibu Amir Hamzah sudah diserahkan kepada pihak hospital untuk dijalankan padanan. - Foto Kosmo Online

SHAH ALAM - Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib memaklumkan pihaknya perlu menjalankan ujian DNA bagi mengesahkan mayat yang ditemui di Sungai Kandis, di sini, semalam adalah Amir Hamzah Mohd. Rozali.

Menurutnya, ujian tersebut perlu dijalankan memandangkan mayat lelaki yang ditemui tengah hari semalam tanpa sebarang identiti dan tidak boleh dikenal pasti melalui bentuk fizikal, lapor Kosmo Online.

"Berdasarkan keadaan mangsa dipercayai telah meninggal kira-kira empat hingga lima hari lalu.

Loading...

"Malah bedah siasat yang dijalankan juga mendapati tiada unsur jenayah.

"Saya difahamkan, DNA daripada ibu Amir Hamzah sudah diserahkan kepada pihak hospital untuk dijalankan padanan," katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Baharuddin berkata, kes itu sehingga kini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

"Saya memahami perasaan waris namun beri peluang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan sewajarnya bagi kepentingan semua pihak pada masa akan datang," ujarnya.

Amir Hamzah yang juga seorang pelajar institusi pengajian tinggi swasta dipercayai hilang ssmentara  motosikal jenis Yamaha Y15 ditunggangnya ditemui di lokasi kemalangan maut di Kilometer 14.5 Lebuh Raya Lembah Klang Baru (NKVE) pada Jumaat lalu.

Kehilangan mangsa, Amir Hamzah Mohd. Rozali, 22, disedari abangnya, Mohamad Khairul ­Anuar selepas adiknya yang belajar di Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics di Taman Maluri di ibu negara gagal dihubungi sejak 12 Oktober lalu.

Sebaliknya lebih mengejutkan, Mohamad Khairul dan keluarga apabila mereka menerima panggilan daripada pihak polis Sabtu lalu yang mengatakan motosikal yang ditunggang Amir Hamzah dijumpai di lokasi kemalangan dua maut dan sembilan cedera membabitkan empat kenderaan.

Bagaimanapun, kelibat atau tubuh Amir Hamzah tidak pula ditemui di situ.

Terdahulu, Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Alimaddia Bukri berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat berkenaan kira-kira pukul 12.17 tengah hari semalam.

"Mayat berkenaan dijumpai oleh penjaga perangkap sampah berkenaan sebelum melaporkannya kepada pihak polis.

"Mayat seorang lelaki yang identiti tidak dapat dikenal pasti itu  kemudiannya diserahkan kepada pihak polis," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

No comments

Loading...