Header Ads

Pendakwa minta kes MDB, SRC International dipindah ke Istana Kehakiman di Putrajaya


Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak tiba di Mahkamah Tinggi bagi pengurusan kes SRC International Sdn Bhd dan 1MDB.

Beliau yang tiba jam 2.40 petang, disambut oleh seramai 50 penyokong yang menunggunya sejak jam 2.00 petang dengan laungan “Hidup Najib”.

Turut kelihatan, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor yang tiba jam 3.20 petang sebelum pengurusan kes bermula, lapor FMT.


Loading...
Pada 4 Oktober lalu, pihak pendakwa meminta perbicaraan Najib membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang dipindahkan ke akaun peribadinya dijalankan di Istana Kehakiman (PoJ) di Putrajaya.

Timbalan Pendakwa Raya Ad-hoc Datuk Sulaiman Abdullah pada ketika itu memberitahu hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali bahawa lokasi itu sesuai kerana sebahagian besar saksi pendakwaan adalah dari Putrajaya.

Sulaiman, peguam yang dilantik untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes itu, berkata Pejabat Peguam Negara (AGC) akan menulis kepada Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Sulaiman untuk perubahan lokasi itu.

Beliau berkata lebih baik mengadakan perbicaraan di sana atas sebab keselamatan dan kawalan orang ramai.

Beliau berkata ia juga sesuai kerana pendakwaan perlukan mengangkut dokumen-dokumen dari AGC di Putrajaya ke mahkamah.

Pada 4 Julai, Najib didakwa atas 3 pertuduhan pecah amanah dan 1 salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Pada 8 Ogos, beliau mengaku tidak bersalah atas 3 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang sama dan dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 24 dan 29 Disember 2014.

20 September lalu, Najib dikenakan 25 pertuduhan di Mahkamah Sesyen berhubung dakwaan pemindahan ratusan juta dolar ke akaun bank miliknya daripada 1MDB.

Beliau juga didakwa dengan 21 pertuduhan pengubahan wang kerana memindahkan dana haram ke akaun bank miliknya dan kemudian menggunakannya.

Beliau dikatakan menerima dan menggunakan wang haram semasa tempoh jawatan perdana menteri antara 2011 dan 2014.

Beliau juga dituduh menyalahgunakan kuasa dalam 4 lagi pertuduhan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

No comments

Loading...