Header Ads

Pemilik Leicester City, empat lagi disahkan maut dalam nahas helikopter


LEICESTER, England - Pemilik kelab bola sepak Leicester City, Vichai Srivaddhanaprabha, seorang bilionair Thailand disahkan maut dalam nahas helikopter berhampiran Stadium King Power selepas perlawanan Leicester City menentang West Ham pada Sabtu lalu.

Vichai adalah antara lima mangsa terbunuh dalam kejadian helikopter terhempas yang telah berlepas dari tempat letak kereta berhampiran Stadium King Po­wer itu.

Loading...

Berita kematian Vichai dan empat lagi mangsa telah disahkan oleh pihak kelab bola sepak, Leicester City dan polis.

"Dengan duka citanya dan perasaan penuh kecewa, kami mengesahkan bahawa Pengerusi, Vichai Srivaddhanaprabha adalah antara mangsa yang terbunuh pada petang Sabtu lalu apabila sebuah helikopter membawa beliau dan empat penumpang lain terhempas berhampiran Stadium King Power," kata pihak kelab menerusi satu kenyataan rasmi hari ini. 

Sementara Polis Leicestershire melaporkan mangsa lain dipercayai terbunuh dalam nahas helikopter itu adalah dua kakitangannya iaitu Nursara Suknamai dan Kaveporn Punpare, juruterbang, Eric Swaffer serta seorang penumpang, Izabela Roza Lechowicz.

Vichai, 60, yang mempunyai empat orang anak, mengasaskan firma bebas cukai King Power International.

Beliau telah membeli kelab bola sepak itu pada tahun 2010.

Vichai yang melabur berjuta-juta pound sterling untuk kelab berkenaan, kerap kali menaiki helikopternya apabila menyaksikan perlawanan Leicester City di tempat sendiri. - Reuters

No comments

Loading...