Header Ads

Pemilihan PKR: Tujuh ditahan kerana merusuh di Tanjong Karang


SHAH ALAM — Polis menahan tujuh individu bagi membantu siasatan kejadian merusuh semasa pemilihan PKR Cabang Tanjong Karang petang semalam kata Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supt Md Asri A Wahab.

Menurutnya kesemua lelaki berusia antara 19 dan 49 tahun itu ditahan antara pukul 9 malam hingga pukul 10.30 malam semalam, setelah mereka menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor dekat sini.


Loading...
“Selain merusuh, kedua-dua pihak dari kem yang bertanding dalam pemilihan itu juga ada melakukan ugutan sesama mereka. Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Md Asri, tiada individu mengalami kecederaan serius dalam kejadian berkenaan dan tiada sebarang senjata digunakan.

Semalam berlaku kekecohan ketika pemilihan PKR cabang itu yang berlangsung di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Gulang-Gulang, Tanjong Karang apabila penyokong dua calon Ketua Cabang bergaduh kerana berebut pengundi.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 3.30 petang apabila penyokong calon yang bertanding masing-masing cuba memujuk pengundi di pintu masuk, sebelum kekecohan tercetus sehingga membawa kepada tumbuk-menumbuk serta berbaling kerusi.

Insiden itu berlaku hampir seminit sebelum berjaya dileraikan pihak polis dan anggota parti. — Bernama

No comments

Loading...